Jumaat, 11 March 2022 | 11:51pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertemu dan meraikan mantan Perdana Menteri Jepun yang juga Utusan Khas Perdana Menteri negara itu, Shinzo Abe di Putrajaya - Foto NSTP/ FB Perdana Menteri
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertemu dan meraikan mantan Perdana Menteri Jepun yang juga Utusan Khas Perdana Menteri negara itu, Shinzo Abe di Putrajaya - Foto NSTP/ FB Perdana Menteri

Hubungan Malaysia-Jepun beri manfaat kepada ekonomi

KUALA LUMPUR: Dasar Pandang ke Timur (LEP) menjadikan Malaysia antara destinasi pelaburan yang strategik dan menarik bagi syarikat Jepun, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri menyifatkan dasar itu menyumbang kepada pembangunan membabitkan pelbagai sektor.

"Tahun ini ialah ulang tahun ke-40 LEP yang menjadikan Malaysia antara satu destinasi pelaburan yang strategik dan menarik bagi syarikat Jepun.

"Dasar ini telah menyumbang kepada pembangunan sumber manusia, peluang pendidikan dan latihan di universiti dan syarikat Jepun, terutamanya dalam bidang berkemahiran tinggi dan teknologi canggih," katanya dalam satu hantaran di Facebook selepas pertemuan bagi meraikan kunjungan mantan Perdana Menteri Jepun, yang juga Utusan Khas Perdana Menterinya, Shinzo Abe ke Malaysia malam ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan menghargai lawatan Abe ke negara ini yang menggambarkan keakraban hubungan Malaysia-Jepun terutama sempena meraikan ulang tahun diplomatik ke-65 bagi kedua-dua negara.

"Saya dan Shinzo Abe mengadakan perbincangan dan bertukar pandangan mengenai hubungan perdagangan dua hala, pandemik COVID-19, kerjasama pelaburan serta perkembangan geopolitik antarabangsa dan isu serantau.

"Malaysia juga komited dengan inisiatif penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia yang kini dalam proses untuk dimuktamadkan," katanya.

Abe berada di Malaysia selama tiga hari sejak semalam bersempena ulang tahun ke-40 LEP dan penubuhan hubungan diplomatik Malaysia-Jepun.

Berita Harian X