Jumaat, 11 March 2022 | 4:54pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

GLC, GLIC bantu negara berpendapatan tinggi pada 2025

KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) penting dalam mencapai visi negara berpendapatan tinggi pada 2025, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, pembabitan GLC dalam perkhidmatan asas seperti bekalan tenaga, petrol, air, logistik dan telekomunikasi membolehkan negara mempelbagaikan ekonomi daripada berasaskan pertanian serta sumber asli kepada sektor perindustrian dan berteraskan teknologi seperti semikonduktor.

"Bahkan, ini menjadi benteng kita terhadap krisis kewangan Asia 1997-1998 dan krisis kewangan global pada 2008.

"GLC dan GLIC juga berperanan penting dalam membangun dan mempertahankan kemajuan sosioekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Hari Terbuka GLC 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ismail Sabri berkata, syarikat seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional dan PETRONAS banyak membantu negara membina infrastruktur kritikal

serta mencapai aspirasinya.

Katanya, GLC dan GLIC menyumbang kira-kira RM445 bilion atau 25 peratus permodalan pasaran Bursa Malaysia, memberi pekerjaan langsung kepada setengah juta Keluarga Malaysia dan penyumbang terpenting dalam rantaian bekalan negara.

"Ia juga penting bagi mencapai aspirasi negara maju melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam pembangunan sosioekonomi negara dan keperluan menyusun semula dasar kerajaan bagi meningkatkan daya tahan rakyat serta daya saing Malaysia di pentas dunia.

"RMK-12 menggambarkan peranan GLC dan GLIC yang diperkukuh dalam usaha memperluas pasaran eksport, membantu komuniti perusahaan dan menceburi sektor strategik yang baharu seperti Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) berteraskan penggunaan data raya dan analisis data," katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, peranan GLC dan GLIC turut membabitkan pelan strategik termasuk pelaksanaan program bimbingan kepada pengamal profesional kecil dan sederhana (PPKS) dalam sektor perkhidmatan.

"Selain itu, mereka berperanan dalam perluasan model perniagaan inklusif yang menggalakkan pembabitan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam rantaian bekalan GLC serta pembiayaan dan pelaburan hijau untuk projek pembangunan mampan dan mesra iklim, termasuk melalui kerjasama awam swasta.

"GLC turut menjadi antara pemacu utama dalam menjayakan pelbagai inisiatif kerajaan melalui Bajet 2022 seperti JaminKerja Keluarga Malaysia bernilai RM4.8 bilion dan program SemarakNiaga Keluarga Malaysia bernilai RM40 bilion," katanya.

Berita Harian X