Khamis, 10 March 2022 | 6:19pm
(Gambar fail) Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
(Gambar fail) Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Ahli Parlimen pembangkang dakwa Azam Baki bohong

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang mendakwa Tan Sri Azam Baki berbohong berhubung kenyataannya bahawa akaun saham beliau digunakan oleh adik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Ketika membahaskan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, semalam, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkata, ia berikutan kenyataan dibuat Azam pada sidang media sebelum ini dilihat bercanggah dengan jawapan diberikan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mengesahkan beliau adalah pemilik dan mempunyai kawalan atas akaun dagangannya itu.

"Pada sidang media, dia (Azam) kata akaunnya (saham) digunakan oleh adiknya tetapi SC kata dia sendiri yang guna. Jadi, Azam Baki sudah berbohong pada sidang medianya.

"Bagaimana orang nombor satu dalam SPRM boleh berbohong secara 'openly' (terbuka), dan tiada siasatan serta tiada tindakan," katanya.

Beliau sekali gus menggesa bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Tan Sri Abu Kassim Mohamed, tampil mengesahkan sama ada Azam pernah membuat pengisytiharan pemilikan sahamnya sebelum ini.

"Saya meminta kedua-dua bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM ini tampil untuk mengesahkan sama ada benar Azam ada lapor dan kalau ya, mengapa tiada tindakan diambil sebab sudah berlaku salah laku.

"Kalau ikut undang-undang, tidak seharusnya memiliki nilai lebih daripada RM100,000 dan dia (Azam) jelas melanggar Seksyen 23 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3/2002," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa khas bebas ditubuhkan untuk menyiasat semua perkara berkenaan.

Azam pada sidang media sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat, termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa.

Beliau memberi alasan akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki dalam urus niaga, selain Azam tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.

Isu pemilikan saham oleh Azam mendapat tumpuan ramai, baru-baru ini, namun SC tidak dapat memastikan secara konklusif bahawa Azam melanggar undang-undang berhubung pemilikan sahamnya mengikut Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) selepas mengumpul bukti dan menyelesaikan siasatan.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan berhubung pemilikan saham atas nama Azam walaupun SC sudah menutup siasatan terhadapnya.

Hamzah dipetik berkata, siasatan yang masih diteruskan itu berkait Dang Wangi report 396/2022 bertarikh 6 Januari lalu, dengan membuka Kertas Enkuiri Polis.

Berita Harian X