Khamis, 10 March 2022 | 4:39pm
Jumlah kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun yang mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 masih rendah. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Jumlah kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun yang mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 masih rendah. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Jangan terlalu teruja beralih ke fasa peralihan

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dinasihati supaya tidak terlalu teruja dengan proses negara ke fasa peralihan endemik sehingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) berikutan peratusan vaksinasi COVID-19 belum mencapai tahap yang mencukupi.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata jumlah vaksinasi kanak-kanak masih rendah dan ia boleh mendatangkan masalah jika SOP pencegahan COVID-19 diabaikan.

Beliau berpandangan, fasa peralihan endemik sepatutnya berlangsung selepas jumlah peratusan vaksinasi mencukupi dan kanak-kanak divaksin secukupnya untuk mengelakkan lonjakan kes berlaku seperti yang terjadi di Hong Kong dan Korea Selatan.

"Apa yang paling kami gusarkan ketika ini adalah jumlah vaksinasi kanak-kanak yang masih rendah iaitu sekitar 30 peratus sahaja. Apabila rakyat mula 'bebas dan bercanda', maka kumpulan ini yang paling terkesan.

"Mereka akan berdepan peningkatan jangkitan dan dibimbangi sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak-kanak (MISC) yang mengakibatkan masalah kepada paru-paru, jantung dan saraf akan meningkat. Kadar kematian MISC juga akan meningkat kerana ketika ini pakar sudah menyatakan terdapat 174 kes MISC dalam kalangan kanak-kanak.

"Kebimbangan terbesar adalah rakyat bebas berjalan-jalan dan bercanda sehingga lupa bahawa COVID-19 ini masih ada dan mula mengabaikan SOP disebabkan penguatkuasaan yang mula tidak ketara," katanya kepada BH.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin mengumumkan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini, iaitu fasa peralihan untuk negara kembali kepada kehidupan normal selepas rakyat bergelut dengan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.

Dalam fasa peralihan ini, sepuluh keperluan ditetapkan untuk dipatuhi iaitu pemakaian pelitup muka ketika di tempat awam, waktu operasi premis mengikut lesen atau permit, menjaga kebersihan tangan, melakukan ujian pengesanan COVID-19 berdasarkan Strategi Pengujian Kebangsaan (National Testing Strategi), menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain itu, menggunakan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan, memastikan penjarakan fizikal satu meter, memastikan pengudaraan yang baik, memastikan kebersihan premis dan mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu.

Mengulas mengenai kelonggaran yang ditetapkan dalam fasa peralihan endemik, Dr Sharifa Ezat berkata, kerajaan perlu meningkatkan lagi pengawasan COVID-19 kerana bilangan kes yang masih tinggi.

"Kita risau kes tiba-tiba akan mencanak terlalu tinggi disebabkan rakyat akan meneruskan kehidupan hampir kepada normal. Kementerian Kesihatan perlu bersedia dengan langkah tertentu, termasuk dalam soal pengawasan kes," katanya.

Berita Harian X