Khamis, 10 March 2022 | 1:10pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa

KKMM bina lebih banyak pencawang telefon selular

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membina lebih banyak pencawang telefon selular di Johor, khususnya di Kota Tinggi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata ini bagi meningkatkan taraf hidup melalui perniagaan secara dalam talian.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan untuk meningkatkan perkhidmatan khususnya di kawasan berpenduduk.

Katanya, tindakan diambil bagi membina struktur pemancar baharu, naik taraf stesen pemancar sedia ada, penyambungan rangkaian gentian optik dan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).

"Satu daripada 13 struktur pemancar baharu sudah siap dilaksanakan manakala 12 lagi sedang dalam pelaksanaan.

"Untuk kerja naik taraf stesen pemancar pula, 70 sudah siap dan tiga stesen lagi proses naik taraf sedang giat dilakukan.

"Kerja penyambungan gentian optik pula menyaksikan sebanyak 3,934 premis sedang dilengkapi kemudahan berkenaan sementara 669 premis lagi dilengkapi gentian optik.

"Kemudahan enam PEDi sedia ada di Kota Tinggi juga turut memberi nilai tambah dan kemudahan kepada penduduk setempat dalam melaksanakan urusan seharian mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Annuar berkata, setakat suku keempat 2021, liputan 4G di Johor berada pada paras 98.68 peratus dan angka berkenaan disasarkan akan meningkat kepada 99.14 peratus menjelang akhir 2022.

Sementara bagi kelajuan jalur lebar pula, setakat suku keempat 2021, ia selaju 28.15Mbps dan disasarkan meningkat kepada 35Mbps.

Berita Harian X