Khamis, 10 March 2022 | 12:51pm

Kerajaan wartakan pelitup muka standard kesihatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mewartakan pelitup muka yang menepati piawaian kesihatan bagi rujukan pengguna dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata langkah itu dibuat berikutan terlalu banyak pelitup muka yang dihasilkan dan dijual di pasaran ketika ini tidak menepati standard kesihatan.

"Bagi pelitup muka, kami sedang memperhalusi untuk jamin kualiti pelitup muka yang sepatutnya dijual untuk mencegah penularan COVID-19.

"Ia menepati standard bagi kegunaan perubatan iaitu memiliki tiga lapisan," katanya menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan asal Kee Chi, beliau berkata, kerajaan juga sedang meneliti keperluan mengkaji semula harga siling untuk Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 (RTK-Ag), yang ketika ini ditetapkan pada harga RM19 di peringkat runcit dan RM16 di peringkat borong di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Dari aspek keberadaan bekalan di pasaran, kerajaan sudah mewartakan kit ujian pantas ini sebagai barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang-Barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 November 2021 dan dikuatkuasakan pada 1 Disember lalu.

"Kerajaan sentiasa mengambil kira keperluan dan kepentingan pengguna terutama dari aspek kecukupan bekalan di pasaran serta memastikan harga pelitup muka serta kit ujian ini tidak membebankan pengguna.

"Kita juga sentiasa memastikan bekalan kedua-dua barangan ini mencukupi dan mampu menampung permintaan tinggi, lebih-lebih lagi ketika ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata, KPDNHEP bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Peranti (MDA) Kementerian Kesihatan bagi memastikan hanya kit ujian yang diluluskan berada di pasaran.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MDA sudah menjalankan lapan serbuan dan 10 sitaan ke atas syarikat yang mengedarkan kit ujian tanpa kelulusan dan lesen yang sah, bagi memastikan hanya kit ujian yang menepati piawaian dipasarkan kepada pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X