Rabu, 9 March 2022 | 6:37pm
Pakar Kesihatan Pekerjaan, Dr Hanafiah Bashirun.
Pakar Kesihatan Pekerjaan, Dr Hanafiah Bashirun.

Malaysia sudah bersedia memasuki fasa endemik

KUALA LUMPUR: Persediaan rapi dilakukan kerajaan, termasuk penyediaan ubat antiviral, Paxlovid bagi 'melawan' COVID-19 serta kekuatan sistem kesihatan menunjukkan negara sudah bersedia memasuki Fasa Peralihan Endemik, bulan depan.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, yang juga Doktor Kecemasan dan Kesihatan Am, Hospital Kasih Cyberjaya, Dr Hanafiah Bashirun, berkata fasa peralihan itu bukan hanya untuk pertumbuhan ekonomi negara, malah yang lebih utama adalah bagi mengelak tekanan psikososial tinggi dihadapi sesetengah masyarakat berikutan pandemik COVID-19.

"Saya lihat negara sudah bersedia daripada beberapa segi. Pertamanya, Mac ini kita akan memperoleh Paxlovid, jadi siapa yang dijangkiti COVID-19 dan tidak stabil atau mengalami gejala teruk, boleh diberi aintiviral, begitu juga dengan mereka yang tidak divaksin tetapi dijangkiti.

"Keduanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah bersedia jika terpaksa berdepan dengan peningkatan kes berbanding ketika fasa awal COVID-19 menular sebelum ini.

"Kita bukan sahaja mempunyai cukup peralatan dan kelengkapan seperti ventilator (alat bantuan pernafasan), malah kakitangan perubatan yang ada juga sudah terlatih untuk berdepan dengan COVID-19," katanya.

Mengulas lanjut, beliau juga mengingatkan setiap individu supaya mengekalkan penjagaan kendiri, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal bagi mengekang penularan wabak itu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan negara akan memasuki Fasa Peralihan Endemik sebagai persediaan kembali kepada kehidupan normal selepas rakyat bergelut dengan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.

Susulan itu, beberapa langkah akan diambil berkuat kuasa 1 April ini, antaranya membenarkan aktiviti solat jemaah di masjid, surau dan rumah ibadat tanpa penjarakan fizikal.

Selain itu, had waktu premis perniagaan yang dikenakan sebelum ini turut dimansuhkan dan sempadan negara dibuka.

Dr Hanafiah juga meminta supaya tiada pihak yang panik berikutan pembukaan semula sempadan negara 1 April ini.

"Mereka yang terbabit secara langsung atau tidak dalam indsutri pelancongan, boleh mengamalkan SOP seperti biasa sebagai langkah pencegahan," katanya.

Berita Harian X