Rabu, 9 March 2022 | 6:29pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan simbolik benih padi IS21 kepada wakil penerima Pertubuhan Peladang Kawasan Endau, Zainee Daud (kanan) pada majlis penyerahan benih padi IS21 di Felcra Sri Mahkota, Endau, hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan simbolik benih padi IS21 kepada wakil penerima Pertubuhan Peladang Kawasan Endau, Zainee Daud (kanan) pada majlis penyerahan benih padi IS21 di Felcra Sri Mahkota, Endau, hari ini. - Foto BERNAMA

Kerajaan arah hasilkan benih padi yang tahan banjir

MERSING: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengarahkan pembangunan varieti padi baharu yang tidak rosak apabila ditenggelami banjir serta tidak menggunakan air yang banyak.

Perdana Menteri meminta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bekerjasama bagi membangunkan dua varieti padi baharu itu.

Katanya, langkah itu bukan sahaja mampu mengurangkan kerugian ditanggung pesawah serta petani apabila bencana banjir menenggelamkan sawah padi, malah boleh membantu mereka menjimatkan kos.

"Di Filipina dan India ada benih padi yang tahan apabila ditenggelami air banjir. Negara kita ketika ini tak tentu bila berlaku banjir, kadangkala masa padi sedang ranum atau pun anak padi sedang membesar tetapi ditenggelami banjir sehingga tanaman padi musnah.

"Keduanya, padi yang tidak memerlukan air yang banyak dan menggunakan kaedah siraman seperti pokok bunga, jadi ia tak perlu tali air yang memerlukan belanja besar, hanya guna 'sprinkler' (penyembur), sekali gus mengurangkan kos dan meningkatkan pendapatan.

"Sebelum ini, MARDI ada membangunkan varieti padi tidak menggunakan banyak air, namun hasil pengeluarannya tidak tinggi dan hanya antara tiga tan dan empat tan. Oleh itu, saya berpendapat MOSTI dan MARDI perlu bekerjasama membangunkan dua varieti padi baharu ini supaya ia lebih berkualiti dan dapat membantu pesawah kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Penyerahan Benih Padi IS21 kepada Komuniti Endau, di FELCRA Sri Mahkota Endau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Pada program itu, Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera turut menyampaikan 500 guni benih padi IS21 seberat 20 kilogram (kg) setiap satu kepada wakil komuniti Endau.

Benih padi IS21 itu dihasilkan Agensi Nuklear Malaysia, agensi di bawah MOSTI yang dijana melalui teknologi nuklear.

Ismail Sabri berkata, benih padi IS21 itu dilancarkan olehnya pada 20 November lalu di Sekinchan, Selangor.

"Alhamdulillah, pesawah dan petani yang menggunakan padi benih IS21 ini memberi maklum balas positif. Lebih istimewa, kos pengurusan sawah juga dapat dikurangkan memandangkan penanaman padi jenis ini tidak memerlukan penggunaan baja yang banyak.

"Berdasarkan maklum balas ini, saya percaya, jika diperluaskan penggunaan benih padi IS21 di Endau, pesawah dan petani juga akan dapat menikmati manfaat dari segi peningkatkan pendapatan dan seterusnya, taraf hidup mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata, baka padi IS21 itu juga berpotensi menghasilkan padi sehingga sembilan tan sehektar mengikut kawasan penanaman dan amalan kultur pesawah jika diurus dengan baik mengikut garis panduan yang disyorkan.

Berita Harian X