Rabu, 9 March 2022 | 12:21pm
Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Satu SOP, 9 garis panduan peralihan ke fasa endemik

PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan hanya satu prosedur operasi standard (SOP) dan sembilan garis panduan yang akan dilaksanakan serta menjadi panduan untuk rakyat apabila negara memasuki Fasa 'Peralihan ke Endemik' bermula 1 April ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata SOP Fasa 'Peralihan ke Endemik' itu sudah dipermudahkan daripada 181 SOP diguna pakai semasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebelum ini.

"Biarpun hanya ada satu SOP, namun masih menguatkuasakan SOP itu mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

"Di bawah SOP ini, terdapat 10 keperluan yang perlu dipatuhi," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sepuluh keperluan itu ialah pemakaian pelitup muka ketika di tempat awam, waktu operasi premis mengikut lesen atau permit, menjaga kebersihan tangan, melakukan ujian pengesanan COVID-19 berdasarkan Strategi Pengujian Kebangsaan (National Testing Strategi), menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain itu menggunakan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan, memastikan penjarakan fizikal satu meter, memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik, memastikan kebersihan premis dan mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu.

"Semua 10 keperluan ini sudah biasa diamalkan oleh orang ramai semasa PPN. Atas sebab itu, saya percaya setiap lapisan masyarakat boleh untuk terus melaksanakannya dengan sebaik mungkin," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Menteri Kuartet COVID-19, berkata SOP dan garis panduan itu adalah salah satu daripada tujuh tonggak yang penting dan menyeluruh dalam usaha negara untuk menuju kehidupan yang hampir normal.

Tujuh tonggak yang diumumkan kerajaan sebelum ini merangkumi satu SOP dan sembilan garis panduan; Sistem Amaran dan Tindakan (HAS); Strategi Pengujian Kebangsaan; uji, lapor, asing, maklum dan cari (TRISS); Automated Find, Test, Trace, Isolate, Support (FTTIS), pembukaan sempadan negara secara berperingkat dan pemerkasaan komuniti.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April ini.

Ia adalah fasa peralihan untuk negara kembali kepada kehidupan normal selepas rakyat bergelut dengan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.

Ismail Sabri berkata, fasa berkenaan adalah fasa sementara sebelum negara ke fasa endemik secara sepenuhnya yang mana ia tertakluk kepada pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Mengenai sembilan garis panduan berkenaan, Hishammuddin berkata, sembilan garis panduan itu merangkumi aktiviti dalam pelbagai sektor.

Difahamkan, garis panduan itu yang merangkumi aktiviti boleh dan tidak boleh dilakukan dalam pelbagai sektor itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Orang ramai boleh mendapatkan perincian lebih lanjut mengenai sembilan garis panduan itu menerusi satu laman sesawang yang sedang dibangunkan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) kira-kira dua minggu lagi.

Sembilan garis panduan itu merangkumi pengangkutan dan perjalanan; pendidikan dan penjagaan; aktiviti peruncitan, makanan dan minuman; ruang kerja tertutup; kawasan kerja terbuka; acara, majlis, hiburan dan tarikan pelancong; hotel dan penginapan tetamu; keagamaan, perkahwinan dan pengebumian serta aktiviti dan fasiliti sukan, rekreasi dan riadah.

Hishammuddin berkata, garis panduan itu dibangunkan bagi membantu rakyat membuat pilihan lebih selamat ketika menjalankan aktiviti harian demi menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang sekeliling.

"Penting untuk saya maklumkan, sembilan garis panduan ini tidak akan dikuatkuasakan, sebaliknya ia akan menjadi panduan yang amat digalakkan untuk dipatuhi supaya rakyat dapat kekal berwaspada dengan risiko jangkitan COVID-19 apabila melakukan aktiviti tertentu.

"Bagi setiap garis panduan ini, terdapat dua perincian iaitu cara penilaian risiko penularan COVID-19, gejala dan cara mengamalkan SOP yang betul. Ia bagi memudahkan masyarakat untuk memahami dengan lebih lanjut berkaitan SOP," katanya.

Hishammuddin berkata, satu laman sesawang sedang dibangunkan dengan kerjasama MKN bagi memudahkan masyarakat memahami dengan lebih lanjut mengenai satu SOP dan sembilan garis panduan ditetapkan serta Fasa Peralihan ke Endemik secara keseluruhannya.

Beliau berkata, laman sesawang itu dijangka dapat diakses dua minggu sebelum 1 April sekali gus membantu masyarakat membuat persiapan sebelum fasa berkenaan bermula.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada seluruh Keluarga Malaysia yang mendokong setiap usaha kerajaan menangani COVID-19. Ini termasuklah mematuhi SOP serta mendapatkan suntikan vaksin dan dos penggalak.

Berita Harian X