Rabu, 9 March 2022 | 11:43am
Gambar hiasan - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Gambar hiasan - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Banjir: Kerajaan terokai kerjasama sediakan skim insurans perniagaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sedang menerokai kerjasama dengan syarikat insurans tempatan bagi menyediakan skim insurans perniagaan risiko bencana alam, untuk usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional).

Kementerian itu memaklumkan, pelaksanaan usaha itu bertujuan melindungi perniagaan daripada sebarang risiko keadaan luar jangka seperti banjir.

"Selain itu, Institut Keusahawan Negara (INSKEN) juga menyediakan modul bimbingan meliputi pengurusan risiko dalam perniagaan bagi membantu usahawan mengenal pasti pelbagai risiko, termasuk banjir, dan persediaan usahawan mengurangkan kesan negatif kepada perniagaan," katanya melalui jawapan lisan dipaparkan dalam laman sesawang Parlimen, hari ini.

Ia menjawab soalan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (BERSATU-Alor Gajah) mengenai inisiatif kerajaan untuk menggalakkan implementasi ramalan perubahan iklim dalam setiap perancangan dan keputusan terhadap perniagaan usahawan kerana cuaca tidak menentu ketika ini.

Bagi jangka panjang, menurut kementerian itu, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menggariskan strategi untuk mempertingkat daya tahan terhadap perubahan iklim, bagi mengurangkan risiko bencana yang boleh menjejaskan aktiviti ekonomi serta perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Melalui strategi itu, katanya, impak perubahan iklim dan risiko bencana akan diambil kira dalam perancangan serta pelaksanaan dasar bagi membolehkan tindakan diambil berasaskan penilaian bukti dan risiko.

"Selain itu, perancangan RMK-12 juga menggalakkan Matlamat Pembangunan Lestasi (SDG) dan prinsip kelestarian meliputi Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) diguna pakai oleh sektor awam serta swasta dalam membuat keputusan," katanya.

Berita Harian X