Rabu, 9 March 2022 | 10:21am
Fasa peralihan endemik diumumkan Perdana Menteri semalam, membuka peluang untuk kembali memakmurkan institusi masjid, surau. - FOTO NSTP/ AZHAR RAMLI
Fasa peralihan endemik diumumkan Perdana Menteri semalam, membuka peluang untuk kembali memakmurkan institusi masjid, surau. - FOTO NSTP/ AZHAR RAMLI

Manfaat kelonggaran untuk kembali makmurkan masjid, surau

PUTRAJAYA: Pengumuman fasa peralihan endemik bermula 1 April ini, wajar dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kembali memakmurkan institusi masjid dan surau dengan suasana ibadah.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pelaksanaan ibadat solat dan prosedur operasi standard (SOP) akhir untuk masjid dan surau, masih tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing

Beliau berkata, kebenaran aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau untuk dilaksanakan tanpa penjarakan sosial adalah sesuatu yang dinantikan umat Islam dan ia berita gembira kepada umat Islam lebih-lebih lagi bakal menyambut kedatangan Ramadan.

"Kita menyambut baik pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan pengumuman fasa peralihan endemik.

"Ia dibuat berasaskan fakta serta data selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan pandangan dikemukakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya.

Dalam pada itu, Idris berharap semua institusi masjid dan surau terus dimakmurkan dengan aktiviti ibadah, majlis halaqah ilmu serta lain-lain program pembinaan modal insan dan kemasyarakatan kerana ia penting untuk memperkukuh jati diri serta penghayatan agama.

Justeru, beliau menyeru umat Islam terus berdoa serta bermunajat supaya rakyat dan negara terus dipelihara daripada sebarang kemudaratan dan bencana.

"Pihak masjid dan surau juga disaran terus mengadakan solat hajat bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan bagi rakyat dan negara," katanya.

Semalam Perdana Menteri mengumumkan negara akan memasuki fasa peralihan sebagai peralihan untuk negara kembali kepada kehidupan normal selepas rakyat bergelut dengan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.

Berita Harian X