Selasa, 8 March 2022 | 4:52pm
Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan. - Foto ihsan ekuinas
Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan. - Foto ihsan ekuinas

Lebih 5.6 juta diagih Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP

KUALA LUMPUR: Lebih RM5.6 juta dana hasil sumbangan orang ramai diagihkan Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP bagi menyokong ribuan individu dan komuniti memerlukan bantuan sepanjang 2021.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan berkata, ia dicapai berkat sumbangan pelbagai dana di bawah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP yang menyumbang secara langsung kepada rawatan menyelamatkan nyawa, usaha bantuan kemiskinan serta bencana di seluruh Malaysia dan luar negara.

Beliau berkata, Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP menumpukan usaha menyokong tiga aspek meliputi bantuan perubatan, misi bencana dan bantuan terhadap individu dan komuniti yang memerlukan sokongan kewangan.

"Melalui bantuan perubatan, sumbangan anda kepada tabung membantu 140 individu menjalani rawatan perubatan dan pembedahan yang menyelamatkan nyawa mereka.

"Bagi meringankan beban mereka dilanda kemiskinan, bantuan dari segi wang tunai dan bakul makanan disumbangkan kepada asnaf di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan yang memanfaatkan 2,250 individu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sumbangan turut disalurkan bagi menyokong usaha kerajaan mendepani virus COVID-19 melalui kempen pengumpulan dana Bantuan Kemanusiaan COVID-19.

"Ini termasuk sumbangan sembilan peti sejuk untuk tujuan simpanan vaksin kepada Angkatan Tentera Malaysia bagi memudahkan penghantaran vaksin COVID-19 ke kawasan terpencil seluruh Malaysia.

"Di luar Malaysia pula, sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima membantu ratusan ribu rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik berterusan di Gaza," katanya.

Jawhar berkata, pada 2021 sumbangan juga disalurkan kepada pelbagai program perubatan dan kemanusiaan melalui Malaysian Relief Agency dan Mercy Malaysia, antaranya membiayai projek bakul makanan, kit COVID-19, program kembali ke sekolah, projek pertanian sara hidup dan peralatan bagi fasiliti kesihatan.

Usaha terbaru dana itu, katanya membabitkan bantuan kepada 240 keluarga terjejas akibat banjir di Hulu Langat, Selangor pada Disember 2021.

"Melangkah 2022, Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima, akan terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat terjejas akibat banjir seluruh Malaysia," katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, pula mengakui terharu dengan curahan kemurahan hati individu dan organisasi yang prihatin menyokong tujuan kemanusiaan.

"Semua sumbangan anda tidak kira besar atau kecil sudah membawa perubahan besar dan terima kasih atas kebaikan anda.

"Sumbangan anda digunakan sepenuhnya dalam memberikan bantuan dan penjagaan bagi mereka yang memerlukan, dengan semua kos pentadbiran dalam menguruskan dana ditanggung Media Prima.

"Kita boleh lakukan banyak lagi pada 2022 dan akan terus memanfaatkan capaian serta platform kami sebagai kekuatan untuk kebaikan," katanya.

Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP ditubuhkan pada 1991 dan terus wujud hingga kini disebabkan kemurahan hati penderma yang berkongsi visi kemanusiaan tentang ertinya menjadi ahli masyarakat bertanggungjawab dan prihatin.

Anda boleh menyokong dan mengetahui lebih lanjut tentang usaha komuniti dana dengan melayari www.tabungmpb.com.my

Berita Harian X