Selasa, 8 March 2022 | 3:02pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Petik, proses ketum boleh dikenakan tindakan

ALOR SETAR: Tindakan ke atas kegiatan penanaman ketum secara besar-besaran oleh penduduk tempatan di negeri ini boleh dilakukan, jika pemilik tanah terbabit melakukan kesalahan memetik dan memproses tanaman itu.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berkata pihaknya sentiasa memantau kegiatan penanaman ketum terutamanya di daerah bersempadan Thailand, namun ia lebih kepada operasi risikan.

Jelasnya, selagi ketum diletak di bawah Akta Racun 1952, maka tidak banyak tindakan dapat dilakukan polis kerana ia berkaitan dasar yang dibuat kerajaan dan memerlukan pindaan bagi membolehkan polis bertindak lebih luas.

"Memang kita ada maklumat berkaitan kegiatan penanaman ketum seperti di daerah Padang Terap yang berdekatan negara jiran, tetapi undang-undang menyatakan tidak menjadi kesalahan jika hanya menanam pokok ketum.

"Apa yang menjadi kesalahan adalah memetik dan memproses, jadi bagaimana polis mahu bertindak jika keadaan kami umpama 'tangan diikat ke belakang' dalam isu ini," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

BH hari ini, mendedahkan kegiatan penanaman ketum didapati kembali berleluasa di negeri ini apabila semakin banyak tanah pertanian milik penduduk tempatan kini ditanam tumbuhan itu dan diusahakan berskala besar serta terbuka.

Lebih mengejutkan apabila tinjauan mendapati ada kebun ketum diusahakan secara moden dan sistematik, termasuk mempunyai sistem saliran serta alat penyiram automatik yang dipasang di kawasan tanaman bagi memastikan daunnya tidak kering.

Mengulas lanjut, Wan Hassan berkata, tindakan kerajaan Thailand membenarkan penjualan ketum secara sah di negara itu sedikit sebanyak turut menyebabkan semakin banyak pemilik kebun tempatan memilih menanam pokoknya.

"Polis tidak boleh berada 24 jam di ladang ketum menunggu pekerja memetik atau memproses daun ketum semata-mata untuk menangkap mereka, kita ada tugas lain lebih penting seperti pencegahan jenayah dan membanteras kegiatan dadah.

"Pada masa sama, kita tetap melakukan tanggungjawab mengawal sempadan Malaysia-Thailand bagi memastikan kegiatan jenayah lintas sempadan termasuk penyeludupan ketum tidak berlaku di kawasan berkenaan," katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta penduduk kampung tidak sewenangnya menukar tanaman kebun mereka kepada pokok ketum semata-mata bagi mengejar keuntungan mudah kerana tindakan boleh diambil kerajaan negeri.

"Hakikatnya polis memerlukan undang-undang dan kerajaan negeri perlu membantu sekiranya serius dalam usaha membasmi kegiatan penanaman ketum kerana pemilik tanah akan cuba mencari keuntungan.

"Kita cuma boleh minta pemilik tanah ini jangan tanam pokok ketum kerana tindakan masih boleh diambil jika didapati melakukan kegiatan memetik dan memproses bahan itu." katanya.

Berita Harian X