Selasa, 8 March 2022 | 1:00pm
Banjir kilat yang berlaku di Masjid Jamek, Kuala Lumpur semalam. - NSTP/Hazreen Mohamad
Banjir kilat yang berlaku di Masjid Jamek, Kuala Lumpur semalam. - NSTP/Hazreen Mohamad

Speaker teliti usul banjir kilat dibincangkan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, bersetuju supaya isu banjir kilat yang melanda Lembah Klang khususnya ibu negara semalam, dibincangkan di Dewan Rakyat.

Terdahulu, usul itu dikemuka Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) malam tadi serta Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) pagi ini, antara lain meminta supaya kementerian berkaitan memperincikan bentuk tindakan dalam mengawal selia bencana itu.

"Ramai sangat terkesan dengan banjir kilat semalam. Ada satu lagi aspek, ramai yang terkesan semalam adalah mereka yang terkesan (dengan banjir buruk) pada 18 dan 19 Disember lalu.

"Saya pohon supaya kita boleh bahaskan (usul ini). Harapan saya bukan saja Menteri Wilayah Persekutuan (menjawab), tapi kementerian yang ditugaskan menjaga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air) juga boleh, kerana ketiga-tiga kementerian ini saling berkait," kata Fahmi ketika bangun meminta supaya usul dikemukakannya hari ini diterima.

Banjir kilat yang berlaku di Masjid Jamek, Kuala Lumpur semalam. - NSTP/Hazreen Mohamad
Banjir kilat yang berlaku di Masjid Jamek, Kuala Lumpur semalam. - NSTP/Hazreen Mohamad

Kemudian, Azhar memaklumkan akan meneliti kedua-dua usul itu dan mempunyai tempoh sehingga esok untuk menentukan kaedah perbincangannya.

"Saya menerima usul Yang Berhormat Bukit Bintang malam tadi jam 10 malam. Saya ada tempoh 24 jam (untuk putuskan kaedah perbincangan), saya akan jawab usul itu hari ini. Usul Lembah Pantai, saya terima 10 pagi tadi, jadi saya perlukan sehingga esok.

"Saya mencadangkan supaya perkara itu dibincangkan. Itu saja komen saya sekarang, tapi saya tak benarkan sekarang, esok saya maklumkan," katanya.

Banjir kilat melanda beberapa kawasan di Lembah Klang, berikutan hujan berterusan sejak jam 3 petang semalam, mengakibatkan ribuan kenderaan terjejas dan dinaiki air.

NADMA semalam turut melaporkan beberapa kawasan dinaiki air seperti Balai Polis Dang Wangi, Jalan Sultan Ismail/Jalan Ampang, Jalan Leboh Ampang, Jalan Raja Laut dan Jalan Kia Peng/Jalan Raja Chulan.

Agensi itu turut memaklumkan, beberapa sungai melepasi paras amaran iaitu di Sentul-Sungai Batu, Jambatan Sulaiman-Sungai Klang, Lebuh Pasar-Sungai Klang dan Jalan Parlimen-Sungai Gombak, manakala sungai melepasi aras bahaya membabitkan Jalan Tun Razak-Sungai Gombak.

Sementara di Selangor, lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Dewan Camelia Seksyen 10 Putra Heights, Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah, Dewan Batu 3, Dewan Kampung Seri Aman dan Dewan Puchong Jaya.

Berita Harian X