X
Selasa, 8 March 2022 | 11:52am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Guna buku digital atasi masalah beg berat murid

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) mencadangkan supaya penggunaan buku digital diperluaskan sebagai ganti buku kerja dalam usaha menyelesaikan isu beg berat dalam kalangan murid.

Presiden STU, Adam Prakash Abdullah berkata, pihaknya berpendapat dalam era sekarang dengan tatacara pembelajaran yang lebih moden, guru tidak harus terlalu bergantung kepada buku teks dan buku kerja.

Jelasnya ia kerana pendekatan pembelajaran sekarang lebih menekankan pembabitan pelajar dalam proses pembelajaran dan pendekatan yang pelbagai, yang boleh memberangsangkan pembelajaran dengan lebih efektif.

"Suatu ketika dahulu, kita memang sangat bergantung kepada buku teks dan buku kerja tetapi dengan adanya sumber pembelajaran digital yang boleh digunakan secara luar talian dan dalam talian, buku teks bukanlah bahan rujukan yang utama pada masa kini.

"Maklumat sentiasa berubah dan maklumat terkini adalah yang boleh didapati daripada internet," katanya yang dihubungi, hari ini.

Adam menambah guru harus menggunakan semua bahan berkenaan dan berganjak ke paradigma pembelajaran yang lebih moden.

Dengan itu, katanya banyak buku yang berat tidak perlu dibawa oleh murid secara harian dalam beg mereka tetapi boleh dirujuk semasa di rumah.

"Masyarakat tidak mahu tahu berapa jumlahnya dan dari mana datangnya dana itu tetapi mereka mahu tindakan.

"Janganlah kita terpaksa tunggu bertahun lagi untuk menyelesaikan masalah sebegini," katanya.

Dalam pada itu, Adam berkata STU menyambut baik komitmen KPM untuk mengatasi masalah beg berat yang sudah terlalu lama tidak dapat diselesaikan.

"STU berharap tiada lagi alasan-alasan diberi untuk tidak melaksanakan langkah-langkah yang boleh diambil bagi menyelesaikan masalah ini kerana ia tidak memerlukan kos untuk melaksanakannya tetapi hanya melibatkan strategi pengajaran dan pembelajaran (PdP) itu sendiri," katanya.

KPM menggariskan tujuh ketetapan dan perincian bagi menangani isu beg berat dialami murid sekolah secara menyeluruh.

Ia membabitkan penyediaan lokar di sekolah rendah, penyusunan semula jadual waktu, bilangan buku latihan, penggunaan buku aktiviti dan kerja, pengenalan buku teks digital, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Berita Harian X