Isnin, 7 March 2022 | 4:59pm
Gambar hiasan - NSTP/ADI SAFRI
Gambar hiasan - NSTP/ADI SAFRI

Kemudahan lokar dapat atasi masalah sakit bahu murid

KUALA LUMPUR: Penyediaan kemudahan lokar di sekolah rendah kelak akan turut membantu mengatasi masalah sakit belakang dan bahu yang dialami sebilangan murid akibat memikul beban beg berat.

Sambil menyambut baik pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) semalam berhubung tujuh pendekatan menangani isu beg sekolah berat, ibu bapa menyifatkan penyediaan lokar itu juga dapat mengurangkan masalah buku cepat rosak atau tertinggal di rumah.

Namun pada masa sama, KPM disaran segera melaksanakan semakan kurikulum supaya isu beg sekolah berat berjaya diselesaikan secara jangka panjang.

Seorang ibu, Marlisa Mohd Basaruddin, berkata penyediaan lokar di sekolah akan mengurangkan risiko sakit belakang dan masalah postur badan berikutan murid terpaksa membawa beg yang berat ke sekolah setiap hari pada usia begitu muda.

Beliau turut kongsikan pengalaman anaknya ketika berada dalam Tahun 1 sebelum ini, terpaksa menggalas beg sekolah seberat hampir tujuh kilogram sehingga mengalami sakit bahu.

"Mereka ke sekolah untuk menuntut ilmu, bukan dibebani beg berat. Jika sesi pembelajaran baru saja bermula tetapi murid sudah keletihan kerana menggalas beg yang berat, ia tentu akan mengganggu tumpuan mereka di kelas.

"Selain itu, penyediaan lokar juga akan mengurangkan kerosakan buku dan isu buku tertinggal di rumah. Jika ada kerja sekolah, murid hanya perlu membawa pulang buku latihan dan buku aktiviti. Sekiranya ada keperluan untuk merujuk buku teks ketika di rumah, ia boleh diakses secara digital.

"Bagi mengelakkan isu kunci lokar tercicir pula, saya menyarankan guru menyimpan kunci utama di tempat khas, manakala kunci pendua diberikan kepada murid dan dipakaikan bersama gelang getah ketika di sekolah," katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Penyediaan lokar yang julung kali di sekolah rendah dan penyusunan semula jadual waktu, merupakan antara tujuh ketetapan diperincikan KPM yang bakal dilaksanakan bagi menangani isu beg berat dihadapi murid.

Selain itu, KPM turut menggariskan ketetapan dari aspek bilangan buku latihan; penggunaan buku aktiviti dan buku kerja; pengenalan buku teks digital; pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP); serta kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, dilaporkan berkata langkah itu diambil berdasarkan penelitian ke atas maklum balas diperoleh yang mendapati isu beg berat adalah kritikal dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya pada Tahap 1 membabitkan Tahun 1, 2 dan 3.

Seorang lagi ibu, Nurulsyahida Mohd Fadzil Thani, turut menyokong pendekatan diambil KPM dan berharap ia akan dilaksanakan dengan lancar.

Beliau turut kongsikan pengalaman beg sekolah anak lazimnya koyak walaupun tidak sampai setengah tahun digunakan, berikutan membawa beban buku yang banyak.

"Bagi saya, penyelesaian isu beg berat memerlukan gabungan kerjasama, termasuk antara guru sekolah dengan murid. Jika tidak, isu yang sudah sekian lama berlarutan ini tidak akan selesai," katanya.

Beliau yang mempunyai dua anak masih bersekolah rendah, turut meminta KPM memastikan setiap buku dibeli untuk pembelajaran anak seperti diminta pihak sekolah termasuk buku aktiviti, digunakan sepenuhnya bagi mengelakkan pembaziran.

Sementara itu Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata bagi menyelesaikan isu itu secara jangka panjang, KPM perlu melakukan semakan kurikulum berikutan ia faktor utama menyumbang kepada masalah beg sekolah berat.

"Ini kerana bilangan mata pelajaran yang ada masih banyak dan silibus setiap mata pelajaran juga padat," katanya.

Berita Harian X