Isnin, 7 March 2022 | 2:57pm
Dasar baharu membasmi kemiskinan akan diumumkan tahun depan. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Dasar baharu membasmi kemiskinan akan diumumkan tahun depan. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Garis kemiskinan RM2,208 disemak semula

KUALA LUMPUR: Garis kemiskinan negara sedang disemak semula dan dijangka dipinda pada awal tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata semakan itu dilaksanakan Jabatan Perangkaan melalui Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022.

Katanya, sebanyak 92,800 isi rumah terbabit sebagai sampel kajian yang dijangka diumumkan pada suku pertama 2023.

"Hasil kajian itu membolehkan kerajaan mengenal pasti kedudukan sosioekonomi dan jurang pembangunan, seterusnya menjadi input bagi penggubalan dasar, strategi dan inisiatif bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

"Buat masa ini, kadar garis kemiskinan di peringkat nasional bagi satu keluarga ialah RM2,208, manakala bagi miskin tegar sebanyak RM1,169," katanya menjawab soalan lisan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai pencapaian dan kegagalan program membasmi kemiskinan rakyat, di Dewan Rakyat hari ini.

Mustapa berkata, kadar kemiskinan negara menurun dengan ketara berbanding lima dekad lalu, iaitu kadar kemiskinan mutlak peringkat nasional turun daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 5.6 peratus pada tahun 2019.

Namun, katanya, penularan COVID-19 memberi impak besar kepada pendapatan isi rumah dan menyebabkan kadar kemiskinan meningkat kepada 8.4 peratus pada tahun 2020.

"Pekali Gini juga dianggarkan meningkat daripada 0.407 kepada 0.411. Penularan COVID-19 beri impak yang besar kepada pendapatan isi rumah 8.4 peratus," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan perbezaan dalam lima dekad juga mendapati kadar kemiskinan di bandar menurun daripada 21.3 peratus kepada 3.8 peratus dan kadar kemiskinan di luar bandar menurun daripada 58.7 peratus kepada 12.4 peratus.

"Di samping itu, Pekali Gini berjaya dikurangkan daripada 0.513 kepada 0.407 dalam tempoh yang sama. Nilai Pekali Gini berada antara 0 dan 1, iaitu 0 menunjukkan agihan pendapatan yang saksama, manakala nilai 1 menunjukkan agihan pendapatan yang paling tidak saksama," katanya.

Menjawab soalan tambah Kok Wai mengenai kumpulan miskin tegar membabitkan wanita, katanya, kerajaan akan melaksanakan program menghapuskan miskin tegar bandar membabitkan ketua isi rumah wanita mulai April ini di beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara.

Katanya, sebagai permulaan program itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta universiti tempatan.

"Kita memilih PPR kerana kita dapati ada ramai yang didiami penduduk yang ketua isi rumah mereka ialah wanita.

"Program ini menggunakan pendekatan yang khusus dan holistik, kerjasama banyak pihak selaras dengan sasaran kita untuk menghapuskan miskin tegar menjelang 2025," katanya .

Menjawab soalan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort), mengenai jurang kemiskinan Semenanjung dan Sabah dan Sarawak, katanya, kerajaan komited merapatkan jurang itu dan sudah ada beberapa perundingan mengenai dilaksanakan.

Katanya, untuk itu 10 kawasan masing-masing di Sabah dan Sarawak dipilih dalam projek rintis menangani miskin tegar ini.

 Foto hiasan
Foto hiasan

Berita Harian X