Isnin, 7 March 2022 | 1:27pm
Sekumpulan pemasang bendera parti sempena kempen PRN Johor dihalang memasang bendera di sebuah kawasan perkampungan di Iskandar Puteri dan video mengenainya tular di media sosial.
Sekumpulan pemasang bendera parti sempena kempen PRN Johor dihalang memasang bendera di sebuah kawasan perkampungan di Iskandar Puteri dan video mengenainya tular di media sosial.

Polis siasat kes pertengkaran isu pasang bendera

ISKANDAR PUTERI: Polis menjalankan siasatan susulan tular satu rakaman video di media sosial memaparkan beberapa individu bertengkar, dipercayai membabitkan isu pemasangan bendera parti di pintu masuk sebuah kampung di sini.

Rakaman video itu dikesan tular pada jam 6 petang semalam, namun polis belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata polis mengesan rakaman yang memaparkan pertengkaran mulut membabitkan beberapa individu daripada ahli parti berbeza.

"Siasatan sudah mula dijalankan walaupun sehingga kini masih belum ada sebarang laporan dibuat berhubung kejadian itu.

"Polis menggesa individu atau saksi yang menyaksikan kejadian terbabit tampil membuat laporan bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulkhairi berkata, polis juga menasihati orang ramai termasuk ahli parti politik yang terbabit dalam semua gerak kerja parti supaya mengawal tingkah laku dan emosi sepanjang perjalanan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Katanya, langkah itu perlu supaya tidak berlaku sebarang kekecohan atau insiden yang boleh mengganggu atau menggugat ketenteraman awam.

"Netizen juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dengan menggunakan video ditular dalam kejadian," katanya.

Menerusi rakaman video yang tular itu, dua hingga tiga lelaki didapati tidak berpuas hati apabila berasakan seolah-olah kawasan perkampungan berkenaan diceroboh bagi pemasangan bendera parti berbeza.

Bagi mengelakkan keadaan bertambah tegang, pemasang bendera parti dari luar itu yang pada awalnya menyatakan hanya memasang di laluan besar, akhirnya akur membuka bendera yang dipasang.

Rakaman yang tular di laman sosial Facebook (fb) menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Segelintir netizen turut memberi reaksi bahawa demi upah RM50 sehari, pemasang bendera sanggup bermusuh.

Berita Harian X