Ahad, 6 March 2022 | 7:22pm

Lapor segera jika ragu kit ujian COVID-19

BAGAN SERAI: Laporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) atau pihak berkuasa sekiranya ragu dengan kit ujian pantas (RTK) COVID-19 supaya tindakan dan siasatan segera dapat dilakukan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata orang ramai dinasihat tidak mempercayai bulat-bulat pelbagai video di media sosial yang memaparkan keputusan RTK meragukan.

"Setiap RTK yang dikeluarkan perlu mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), dan penjualan peranti itu tanpa kelulusan adalah satu kesalahan.

"Ia sama seperti penjualan sijil vaksinasi palsu dan tindakan berat boleh diambil kerana ia menggugat kepercayaan dan kesihatan orang ramai," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agong Pertubuhan Kebajikan Agama Islam dan Masyarakat Melayu Komuniti Bagan Serai, hari ini.

Sementara itu Dr Noor Azmi menasihatkan penerima vaksin lengkap Sinovac agar segera mengambil dos penggalak dalam tempoh masa yang telah dilanjutkan hingga akhir bulan Mac ini.

Katanya, kegagalan berbuat demikian menyebabkan pergerakan seharian mereka terbatas disebabkan status dalam aplikasi di MySejahtera sudah berubah.

Dr Noor Azmi. - Foto NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
Dr Noor Azmi. - Foto NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
Berita Harian X