Ahad, 6 March 2022 | 5:21pm
Khairy (dua, kanan) bersama calon Barisan Nasional (BN) Datuk Jefridin Atan (kanan) bertanya khabar kakitangan Kementerian Kesihatan pada program Walkabout di Klinik Kesihatan Serkat, Pontian hari ini.
Khairy (dua, kanan) bersama calon Barisan Nasional (BN) Datuk Jefridin Atan (kanan) bertanya khabar kakitangan Kementerian Kesihatan pada program Walkabout di Klinik Kesihatan Serkat, Pontian hari ini.

KKM syor penceramah dibenar tak pakai pelitup muka

PONTIAN: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi kelonggaran kepada penceramah, untuk tidak memakai pelitup muka ketika memberi ucapan dalam aktiviti berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata kelonggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) itu hanya dibenarkan, sekiranya terdapat penjarakan fizikal yang sesuai dalam aktiviti berkempen.

"Saya telah bincang perkara ini dengan Bahagian Kawalan Penyakit KKM dan kita dapati kalau ada penjarakan fizikal yang sesuai, penceramah yang sedang memberi ucapan sahaja dibenarkan untuk membuka pelitup muka.

"Syor juga telah dikemukakan kepada SPR tetapi tentunya ia bergantung kepada KKM punya pandangan dan kita rasa berdasarkan kepada penilaian risiko, agak selamat kalau yang berucap itu sahaja buka pelitup muka seketika," katanya selepas melawat Klinik Kesihatan Serkat, Kukup hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung sama ada terdapat kelonggaran baharu terhadap SOP berkaitan aktiviti kempen pada PRN Johor, memandangkan banyak pihak terlibat dalam pilihan raya itu dikompaun sebelum ini.

Khairy turut berkata isu berkaitan SOP itu akan diteliti serta ditambah baik dari semasa ke semasa, kerana KKM dan SPR bersikap adil dalam hal ini sekiranya aduan atau pandangan yang diberikan adalah munasabah.

SPR sebelum ini menetapkan ceramah atau syarahan atau kempen dibenarkan diadakan di dalam serta di perkarangan pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi, dengan jumlah kehadiran tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang.

Jumlah tersebut termasuk penganjur, urusetia, penceramah dan peserta, bagi memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dapat diamalkan dan semua perlu memakai pelitup muka.

Hari pengundian PRN Johor ditetapkan 12 Mac ini manakala undi awal pada 8 Mac.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, KKM memutuskan untuk menutup semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega mulai 16 Mac ini berikutan kos sewa yang tinggi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya mendapati bahawa penyewaan lokasi PPV Mega tidak lagi 'cost-effective' memandangkan ia melibatkan dewan-dewan persidangan yang besar.

"Apabila kita menyewa dewan persidangan ini kita perlu bayar, bukannya percuma jadi kita dah guna sepenuhnya. Sekarang ini, tidak ada keperluan lagi untuk kita kekalkan PPV Integrasi ataupun PPV Mega.

"Selepas ini, hanya memadai untuk kita sediakan yang lebih kecil contohnya di klinik swasta dan klinik kesihatan," katanya

Khairy berkata kehadiran penerima vaksin juga tidak lagi seramai sebelum ini dan mungkin disebabkan sebahagian besar penduduk telah menerima vaksinasi.

"Di Johor sahaja lebih 70 peratus dah dapat dos penggalak dan bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) pula, boleh dibuat di peringkat sekolah iaitu PPV sekolah," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata semua PPV Mega akan ditutup bermula 16 Mac ini.

Dr Noor Hisham turut berkata sehingga tarikh tersebut, vaksinasi COVID-19 secara jumpa terus masih dibuka di PPV Axiata Arena Bukit Jalil dan PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - BERNAMA

Berita Harian X