Ahad, 6 March 2022 | 9:26am
Orang ramai dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam setiap aktiviti bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19. - Foto hiasan NSTP
Orang ramai dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam setiap aktiviti bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19. - Foto hiasan NSTP

Lagi kes harian tertinggi COVID-19, 33,406 kes semalam

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mencatat kes harian COVID-19 tertinggi untuk tiga hari berturut-turut apabila 33,406 kes baharu direkodkan, semalam.

Ia lebih tinggi berbanding 33,209 kes kelmarin dan 32,467 kes pada Khamis.

Angka jangkitan semalam menjadikan keseluruhan jumlah jangkitan yang direkodkan sejak wabak COVID-19 melanda negara pada Januari 2020 meningkat kepada 3,595,172 kes.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini di laman sesawang COVIDNOW, hari ini menunjukkan daripada keseluruhan kes harian baharu semalam, 33,064 adalah kes penularan tempatan dan 342 adalah kes import.

Jumlah kes aktif meningkat kepada 311,206 kes termasuk 6,196 kes aktif baharu dicatatkan semalam, dengan 298,532 pesakit atau 95.9 peratus menjalankan kuarantin di rumah, manakala 3,588 pesakit berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Data COVIDNOW turut menunjukkan, seramai 8,715 pesakit kini mendapat rawatan di hospital dan daripada jumlah itu, 371 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 226 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, sebanyak 26,352 kes COVID-19 sembuh dicatatkan semalam, manakala sebanyak 67 kematian baharu dicatatkan, termasuk 23 kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Negeri yang mencatatkan kematian tertinggi ialah Selangor (14) diikuti Kedah (12), Johor (10), Perak (8), Sabah (7), Melaka (4), Perlis (4), Kelantan (3), Pahang (3), Negeri Sembilan (1) dan Pulau Pinang (1). Sepanjang minggu lalu, purata 77 orang dilaporkan meninggal dunia akibat COVID-19.

Sejak Mac 2020, sebanyak 33,173 kematian dilaporkan akibat COVID-19.

Bagi pengunaan katil ICU di seluruh negara, data COVIDNOW menunjukkan jumlah pengunaan keseluruhan melebihi 60 peratus dengan Kuala Lumpur mencatat penggunaan tertinggi iaitu 73.1 peratus (17 kes aktif), diikuti Johor (72.9 peratus dengan 35 kes aktif).

Selain itu, Kelantan mencatat penggunaan 71.5 peratus dengan 30 kes aktif, manakala Putrajaya mencatat penggunaan 70 peratus dengan lima kes aktif.

Berita Harian X