Sabtu, 5 March 2022 | 2:21pm
Pengusaha nanas Roslee Ismail, 51, (kanan) dibantu adik perempuannya Rosnah Ismail dan suaminya Ady Abu Aris (tengah) menunjukkan nanas jenis MD2 yang telah ditempah pelanggan di Kampung Lepau, Pengerang di Kota Tinggi baru-baru ini. - Foto Bernama
Pengusaha nanas Roslee Ismail, 51, (kanan) dibantu adik perempuannya Rosnah Ismail dan suaminya Ady Abu Aris (tengah) menunjukkan nanas jenis MD2 yang telah ditempah pelanggan di Kampung Lepau, Pengerang di Kota Tinggi baru-baru ini. - Foto Bernama

Bekas jurutera jadi pengusaha nanas berjaya

PENGERANG: Nekad meninggalkan bidang kejuruteraan untuk berbudi kepada tanah, ternyata memberi pulangan lumayan kepada Roslee Ismail yang mengusahakan tanaman nanas di Kampung Lepau, Pengerang di Kota Tinggi.

Melihat hamparan tanaman nanas setiap kali pulang ke kampung halaman, Roslee, 51, berkata dia terdetik untuk menceburi bidang pertanian sebagai kerjaya baharu.

"Sebelum ini saya bekerja 'makan gaji' sebagai jurutera kimpalan di sebuah syarikat swasta di Selangor dan apabila pulang ke kampung di Kota Tinggi, saya melihat ramai orang luar yang mengusahakan tanaman nanas, daripada situlah timbulnya keinginan untuk berbakti kepada tanah di kampung halaman sendiri," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Roslee berkata, pada 2006 dia mencuba nasib dengan membuat permohonan sewaan tanah daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pihak berkenaan bersetuju menyewakan tanah seluas 8.09 hektar di Kampung Lepau kepadanya.

Sejak daripada itu, dia mengusahakan nanas jenis M36 diikuti Morris, Crystal Honey dan Josaphine sebelum menumpukan sepenuhnya kepada nanas MD2 susulan ia mendapat permintaan tinggi di pasaran.

"Bermodalkan kira-kira RM100,000 saya memulakan tanaman nanas dengan mengupah pekerja untuk mengusahakannya selama kitaran 18 bulan," kata Roslee yang berkelulusan Sijil Teknologi Kimpalan dari Institut Kemahiran Belia.

Sebagai individu yang baru berjinak-jinak dengan sektor pertanian, dia sememangnya tidak dapat lari daripada pelbagai cabaran termasuk pada awalnya gagal dalam permohonan untuk mendapatkan tanah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Jabatan Pertanian berikutan mempunyai saingan ramai.

"Selepas 18 bulan, percubaan saya untuk mengusahakan nanas berjaya dan pada masa sama terdapat beberapa pengusaha nanas dalam projek TKPM gagal, selepas itulah pihak Jabatan Pertanian menawarkan kepada saya tanah 20 ekar dan selepas cukup kitaran mereka menawarkan lagi 20 ekar tanah TKPM, syukur sehingga kini saya sudah mempunyai 40 ekar tanah untuk diusahakan," katanya.

Menurut Roslee yang berpindah ke kebun TKPM pada 2009, dia gembira dan berpuas hati apabila melihat hasil tanaman nanasnya mendapat permintaan ramai sekali gus membuatkannya nekad berhenti kerja sebagai jurutera kimpalan bagi menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kebun nanas itu pada tahun sama.

Lebih menggembirakannya apabila Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) turut menawarkan kepadanya pinjaman benih MD2 sebanyak RM100,000 pada 2013 bagi mempergiatkan lagi usaha tanaman nanas varieti itu bagi menampung permintaan tinggi dalam pasaran domestik serta eksport.

"Dalam tempoh seminggu kita mampu mengeluarkan 200 biji nanas jenis MD2 dengan purata jualan sebiji RM3 bersamaan RM6,000 seminggu dan jika dibantu LPNM dengan subsidi yang ada, petani hanya keluarkan kos dalam RM1 bererti bersih dalam RM2 sebiji untuk buah sahaja bermakna pendapatan bersih boleh dapat RM4,000 seminggu," katanya.

Berdasarkan rekod LPNM, Johor adalah pengeluar nanas terbesar negara diikuti Sarawak, Sabah dan Kedah.

Ketika ditanya mengenai harapan terhadap pengusaha nanas sepertinya dia berharap kerajaan dapat mempergiatkan lagi industri pengeluaran nanas dengan menyediakan pelbagai bantuan dan latihan agar lebih ramai agropreneur muda terbabit dalam tanaman komoditi itu.

"Saya sendiri bersedia menawarkan diri untuk memberi latihan kepada anak muda untuk mempelajari mengenai penanaman nanas ini, kerana ia bukan sahaja antara sumber kekayaan baharu negara malah mampu meningkatkan pendapatan petani.

"Saya yakin dengan adanya banyak program latihan sebegini dapat menarik lebih ramai golongan belia daripada kumpulan B40 untuk terbabit dalam sektor pertanian dan sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka," kata bapa lima anak itu.

– BERNAMA

Berita Harian X