Sabtu, 5 March 2022 | 12:45pm

110,000 pesakit COVID-19 jadi penerima pertama ubat antiviral Pfizer

KUALA LUMPUR: Seramai 110,000 pesakit COVID-19 berisiko tinggi akan menjadi kelompok pertama dirawat menggunakan ubat antiviral, Paxlovid, keluaran Pfizer, yang akan diterima Kementerian Kesihatan (KKM), bulan ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menyifatkan ketibaan ubat itu kelak akan memberi lebih 'senjata' kepada KKM dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 di negara ini.

Katanya, ubat antiviral yang diperoleh itu akan mula diberikan kepada pesakit bagi merawat dan melindungi mereka dari wabak itu, sebaik ia diterima.

'Ia menjadikan lebih banyak senjata yang akan digunakan kita dalam melawan COVID-19," katanya ketika melancarkan Persidangan Tahunan Dialisis, di sini hari.

Turut hadir adalah Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Datuk Dr Zaki Morad.

Khairy berkata, bekalan ubat antiviral dari Pfizer itu akan tiba bulan ini selepas KKM memuktamadkan pembelian bulan lalu.

"Kita sudah memuktamadkan dengan Prizer pada bulan lepas dan saya pun sudah menandatangani perjanjian (pembelian) itu dan mungkin dalam dua minggu lagi kita akan terima.

"Dalam perolehan yang pertama ini, kita sudah beli bekalan untuk 110,000 pesakit dan ini akan diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi," katanya.

Beliau berkata, sekiranya ubat antiviral itu berjaya merawat pesakit COVID-19, barulah kerajaan akan melaksanakan perolehan kedua.

"Kalau kita dapati penggunaan berkesan, kita akan tambah dari Pfizer. Ada dua lagi kita akan beli iaitu dari Molnupiravir dan AstraZaneca, namun ia belum dimuktamadkan lagi," katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Berita Harian X