Sabtu, 5 March 2022 | 12:33pm
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Foto fail NSTP/Fauziah Ismail
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Foto fail NSTP/Fauziah Ismail

Pakar, pencinta tekstil tradisional perlu bekerjasama - Raja Permaisuri Agong

KUALA LUMPUR: Pakar serta pencinta tekstil tradisional perlu bekerjasama meningkatkan kualiti dan nilai produk, sekali gus menarik perhatian antarabangsa, titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda yang juga Penaung Diraja Persatuan Pencinta Tekstil Tradisional (CITRA) bertitah, sebuah badan pemantau semua pihak terbabit kraf tangan, termasuk karyawan, penenun, pereka dan pemasar kain tradisional, diperlukan bagi memperkaya warisan tekstil di negara ini.

Tunku Azizah juga berharap CITRA memainkan peranan mengumpulkan pakar industri itu, agar produk dihasilkan akan lebih menarik minat orang ramai, selain menaik taraf kualiti dan rekaan tekstil berkenaan.

"Bertahun lamanya saya mendesak agar persatuan seperti ini ditubuhkan kerana sangat berminat untuk belajar, memelihara dan mengembangkan bentuk seni ini.

"Ia adalah langkah ke satu arah yang betul. Negara lain sudah lama melakukannya dan bergerak sebagai satu entiti ke mana saja mereka pergi. Misalnya, Indonesia dan Thailand mengembangkan kraf mereka dengan berkongsi kemahiran. Saya sungguh terinspirasi.

"Idea CITRA memupuk dan mengasuh pencinta serta karyawan tekstil tradisional, boleh membantu mereka menghasilkan tekstil boleh dibanggakan," titah baginda dalam ucapan pada majlis pelancaran CITRA, di sini, hari ini.

Raja Permaisuri Agong bertitah demikian dalam teks ucapan dibacakan adinda baginda, Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Aishah Sultan Ahmad Shah.

Mengetengahkan fokus menghidupkan semula Tenun Diraja Pahang, Tunku Azizah bertitah, fabrik berkenaan kini bukan sahaja dikenali di seluruh negara, malah pada peringkat antarabangsa.

Memperincikan keistimewaan Tenun Diraja Pahang, baginda bertitah, ia dihasilkan oleh penenun dalam kalangan banduan yang sentiasa komited dan bersungguh-sungguh dalam penghasilan fabrik itu.

"Projek ini adalah inisiatif pemulihan dan penambahan kemahiran kepada mereka agar apabila keluar dari penjara kelak, kemahiran yang telah dipelajari itu boleh diguna bagi memulakan kehidupan baharu.

"Kami diundang ke London Crafts Week, Mei depan, di mana Tenun Diraja Pahang akan turut disertakan dalam koleksi istimewa pereka terkenal, Dolce & Gabbana dan Manolo Blahnik.

"Saya juga akan membawa seorang bekas banduan dan peralatan menenun ke London untuk demonstrasi pembuatan tenun yang istimewa ini," titah baginda.

Berita Harian X