Sabtu, 5 March 2022 | 11:27am
Foto hiasan
Foto hiasan

Kadar kelahiran di Pahang rendah

LIPIS: Kadar kelahiran di Pahang sangat rendah, dan usaha untuk meningkatkan jumlah penduduk di negeri itu dilakukan, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan pada 2020, kadar kelahiran hanya sekitar 25,279 orang setahun secara purata.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menaikkan bayaran Insentif Khas Pasangan Pengantin (IKPP) bagi perkahwinan kali pertama dari RM200 kepada RM250 bagi pasangan pengantin anak Pahang berpendapatan RM5000 dan ke bawah mulai tahun ini.

"Langkah ini memberi manfaat kepada hampir 14,000 pasangan pengantin di negeri ini. IKPP yang diperkenalkan sejak 2020 adalah untuk menarik minat golongan belia berkahwin dan membantu meringankan bebanan pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga," katanya.

Wan Rosdy berkata, perkahwinan mestilah didaftarkan di negeri Pahang dengan kebenaran Pejabat Agama Islam Daerah manakala perkahwinan anak Pahang yang didaftarkan di luar negeri itu, pengantin perlu membuat permohonan dan pengesahan di Pejabat Agama.

Beliau berkata, pada masa ini kerajaan negeri belum berhasrat membuka insentif itu bagi pasangan yang berkahwin untuk kali kedua dan seterusnya.

Katanya, pada masa sama, kerajaan negeri turut memperkenalkan Program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid) mulai tahun ini.

"Di bawah program ini, setiap bayi yang dilahirkan di Pahang menerima wang saguhati RM200 untuk kegunaan pembelian barangan penjagaan bayi dan ibu ketika berpantang dan simpanan masa depan.

"RM100 akan diperuntukkan bagi pembelian barangan penjagaan bayi dan ibu ketika berpantang dan selebihnya adalah untuk simpanan masa depan anak terbabit," katanya.

"Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi program ini," katanya.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan Kad Pelajar Kebanggaan Pahang sebagai persediaan kepada ibu bapa menghadapi sesi persekolahan baharu.

Katanya, pelajar yang layak akan menerima inisiatif ini yang mana sebanyak RM100 dikreditkan di dalam kad berkenaan untuk menampung pembelian barangan persekolahan.

Katanya, ia akan memanfaatkan 238,455 pelajar dari keluarga B40 dan M40 di negeri ini.

Berita Harian X