Sabtu, 5 March 2022 | 10:45am

Pelajar Tingkatan 1 SBP pilih PdPR atau tumpang sekolah harian - Radzi

PUTRAJAYA: Pelajar Tingkatan Satu yang mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh (SBP) bagi sesi persekolahan baharu akan datang, perlu memilih sama ada mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) atau hadir ke sekolah harian berdekatan kediaman untuk PdP secara bersemuka.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kaedah itu bagaimanapun hanyalah sementara sebelum pihaknya mengumumkan tarikh sesuai untuk pelajar berkenaan memasuki asrama.

"Pelajar Tingkatan Satu yang berjaya memasuki SBP, boleh memilih sama ada menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian yang berdekatan kediaman, sehingga tarikh kemasukan ke sekolah berasrama diumumkan.

"Bagi sekolah swasta berasrama sepenuhnya yang mempunyai kapasiti untuk menguruskan keseluruhan pelajar, sekolah berkenaan boleh beroperasi sepenuhnya termasuk pelajar baharu Tingkatan Satu," katanya melalui rakaman video dimuat naik dalam Facebook beliau, hari ini.

Radzi berkata, pelajar Tingkatan Dua hingga Tingkatan Enam, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) dan peperiksaan antarabangsa setara di sekolah berasrama sepenuhnya pula perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran serta dibenarkan masuk ke asrama, mulai 4 April depan.

Mereka terdahulu akan menjalani PdPR untuk tempoh selama dua minggu, mulai 21 Mac ini.

Seterusnya bagi pelajar di sekolah vokasional, beliau memaklumkan, sesi persekolahan akan berlangsung tanpa penggiliran, mengikut takwim akademik masing-masing.

"Pelajar Kolej Matrikulasi juga akan hadir tanpa perlu penggiliran, mengikut takwim akademik masing-masing. Bagi sistem empat semester, yang akan hadir adalah pelajar semester dua dan empat, manakala sistem dua semester pula, yang akan hadir adalah pelajar semester kedua.

"Bagi Institut Pendidikan Guru (IPG), ia juga dilaksanakan tanpa penggiliran dan mengikut takwim kalendar akademik.

"Ia termasuk untuk pelajar Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Diploma Pascasiswazah Pendidikan, Diploma Perguruan Malaysia dan Program Intervensi Tambah Opsyen," katanya.

Gambar hiasan - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Gambar hiasan - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X