Sabtu, 5 March 2022 | 9:49am
Foto hiasan
Foto hiasan

Jangkitan COVID-19 cecah angka tertinggi 33,209 kes

KUALA LUMPUR: Jumlah kes harian positif COVID-19 negara terus menunjukkan trend meningkat melebihi angka 30,000 apabila sebanyak 33,209 kes positif baharu direkodkan semalam, kes tertinggi pernah direkodkan.

Ia meningkat berbanding kelmarin iaitu 32,467 kes dengan 32,054 adalah penularan tempatan dan selebihnya kes import.

Melalui data dikongsikan di laman sesawang COVIDNOW, daripada jumlah keseluruhan kes semalam, sebanyak 32,768 kes adalah penularan tempatan, manakala 441 kes adalah kes import.

Angka kes harian yang terbaharu dicatatkan semalam itu menjadikankan jumlah kumulatif kes COVID-19 negara meningkat kepada 3,561,766 kes.

Menerusi data COVIDNOW lagi, sebanyak 6,779 aktif direkodkan, semalam menjadikan keseluruhan kes aktif 305,010 kes dengan 292,696 pesakit menjalani kuarantin di rumah, manakala 3,442 lagi dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sementara itu, seramai 8,524 pesakit kini menjalani rawatan di hospital dan jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah seramai 348 orang dengan 211 daripada pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Angka dikongsi dalam COVIDNOW turut menunjukkan, sebanyak 26,352 kes COVID-19 sembuh dicatatkan semalam, manakala jumlah kematian di hospital termasuk kes COVID-19 adalah 78 kematian serta 22 kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Sabah mencatatkan kes kematian tertinggi 15 kes, diikuti Kedah (12), Johor (11), Selangor (10), Pulau Pinang (lapan), Perak (enam), Pahang (empat) dan Terengganu (tiga).

Negeri Sembilan, Sarawak dan Kuala Lumpur pula masing-masing melaporkan dua kes manakala satu kes masing-masing di Kelantan, Melaka dan Perlis.

Berbanding kelmarin, 15 kematian akibat COVID-19 dicatatkan dengan 13 kes kematian di hospital manakala dua lagi adalah BID.

Bagi jumlah penggunaan katil ICU pula, data COVIDNOW menunjukkan, Putarajaya mencatatkan jumlah penggunaan lebih 80 peratus , semalam dengan enam kes aktif, diikuti Kelantan sebanyak 72.2 peratus dengan 71 kes aktif.

Johor mencatatkan penggunaan katil ICU 70.3 peratus dengan 31 kes aktif, manakala Perlis 68.4 peratus dengan lapan kes aktif, Selangor 66.8 peratus dengan 50 kes aktif dan Kuala Lumpur 67.7 peratus dengan 15 kes aktif.

Berita Harian X