Jumaat, 4 March 2022 | 5:31pm
Peruncit menjual kit ujian saringan COVID- 19 kendiri serendah RM4.90 seunit. - Foto fail NSTP
Peruncit menjual kit ujian saringan COVID- 19 kendiri serendah RM4.90 seunit. - Foto fail NSTP

'Pengguna boleh beli kit ujian kendiri harga rendah'

PUTRAJAYA: Kadar harga siling bagi penjualan kit ujian saringan COVID- 19 kendiri yang diputuskan tahun lalu, membuka peluang lebih banyak produk berkenaan dibawa masuk ke negara ini, seterusnya membolehkan pengguna membeli pada harga lebih rendah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata biarpun kerajaan sebelum ini menetapkan harga siling runcit RM19.90 dan harga siling borong RM16.90 bagi setiap unit kit ujian kendiri, usaha Kabinet turut menyaksikan ada peruncit menjualnya serendah RM4.90 seunit.

Beliau berkata, ini tidak bermakna kerajaan berkompromi dengan mutu dan kualiti kit ujian kendiri yang dijual pada harga lebih murah kerana kelulusan penggunaannya masih perlu melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

"KPDNHEP memahami desakan pengguna untuk harga siling kit ujian saringan ini dikurangkan.

"Penetapan harga siling sedia ada membolehkan banyak jenama lain dibawa masuk ke negara ini termasuk dari Korea.

"Dikhuatiri, jika harga siling direndahkan lagi, banyak jenama sedemikian tidak lagi dapat dibawa masuk dan boleh menyebabkan kekurangan bekalan alat itu," katanya kepada BH.

Alexander berkata demikian ketika diminta mengulas desakan orang ramai supaya harga kit ujian kendiri COVID-19 dikurangkan tatkala negara sedang berdepan gelombang Omicron.

Ia bagi membolehkan lebih ramai mendapat akses kepada alat berkenaan pada bila-bila masa dan harga berpatutan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Alexander berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kejituan hasil diperoleh menggunakan kit ujian berharga lebih murah kerana ia memerlukan kelulusan ketat oleh MDA.

Sementara itu, ditanya rungutan orang awam bahawa ada klinik menjalankan ujian RTK-Antigen menggunakan kit sama, tetapi mengenakan caj lebih mahal antara RM50 hingga RM60, beliau berkata, pengguna boleh meminta bil terperinci untuk melihat harga sebenar dikenakan bagi alat digunakan.

Katanya, walaupun alat berkenaan dijual di klinik kesihatan atau pusat perubatan swasta, ia juga tertakluk kepada undang-undang anti pencatutan sedia ada, selain kit ujian itu perlu dijual mengikut harga siling ditetapkan.

"Mana-mana pihak berasakan mereka dicaj lebih mahal, boleh meminta bil terperinci dan membuat aduan melalui saluran disediakan.

"Sekiranya didapati benar, pengamal perubatan atau pusat perubatan terbabit boleh dikenakan tindakan," katanya.

Alexander berkata, beliau berharap klinik kesihatan atau mana-mana pihak menjual kit ujian kendiri ini menyedari mereka boleh dikenakan tindakan jika gagal mematuhi harga siling ditetapkan seperti pernah berlaku pada sebuah pusat perubatan swasta pada 2020 yang didenda RM200,000 selepas mengenakan bayaran melebihi harga siling bagi pelitup muka.

Berita Harian X