Jumaat, 4 March 2022 | 1:57pm
Foto hiasan
Foto hiasan

SPR keluarkan 36,729 kertas undi pos PRN Johor

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos kepada yang berhak untuk mengundi secara pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak, berkata ia seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi PRU Dewan Negeri Johor (DUN) Ke-15.

Katanya, pengeluaran kertas undi pos pada dibuat pada 1 Mac hingga semalam dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di semua 56 kawasan DUN.

"Kesemua 36,729 kertas undi pos itu terdiri daripada 28,421 kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media).

"Bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), sebanyak 7,814 undi pos dikeluarkan. Sebanyak 118 kategori Borang 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan & Kesihatan) dan 376 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

"Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Indera Ikmalrudin berkata, SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu pada 12 Mac depan (Sabtu).

"Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial," katanya.

Berita Harian X