Jumaat, 4 March 2022 | 10:02am
Foto hiasan
Foto hiasan

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 meningkat 1.01

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 meningkat pada kadar 1.01 semalam, berbanding 1.00 yang dicatatkan kelmarin

Berdasarkan data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook rasminya hari ini, hanya dua negeri mencatatkan Rt di bawah kadar 1.00 iaitu Sabah dan Johor, masing-masing pada kadar 0.94 dan 0.95.

Negeri yang mencatatkan kadar Rt melebihi 1.00 ialah Selangor (1.09), Pulau Pinang (1.09), Kelantan (1.03), Melaka (1.04), Kuala Lumpur (1.15), Labuan (1.05), Putrajaya (1.02) dan Negeri Sembilan (1.16).

Selain itu, Kedah (1.04), Pahang (1.13), Perak (1.29), Terengganu (1.19), Sarawak (1.43) dan Perlis (1.11).

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi data dikongsikan di laman web COVIDNOW, melaporkan sebanyak 32,467 kes positif baharu COVID-19 direkodkan, semalam sekali gus menjadikan kes kumulatif di negara ini sebanyak 3,528,557 kes.

Data itu termasuk 413 kes import yang dicatatkan, semalam dengan jumlah keseluruhan kes import sebanyak 23,885 kes.

Sebanyak 4,752 kes aktif direkodkan, semalam dengan jumlah kes aktif keseluruhan sebanyak 298,231 kes dengan 1.2 peratus atau 3,457 pesakit ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC).

Dalam pada itu, seramai 8,322 pesakit dirawat di hospital dengan 355 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, seramai 147 pesakit di ICU tidak memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala 208 atau satu peratus pesakit di ICU memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menerusi data dikongsikan di COVIDNOW juga, jumlah pesakit sembuh dicatatkan semalam adalah seramai 27,629 orang dengan jumlah keseluruhan sembuh seramai 3,197,298 manakala satu kematian direkodkan, semalam.

Data COVIDNOW, semalam turut menunjukkan kadar penggunan katil ICU untuk pesakit COVID-19 adalah 59.7 peratus membabitkan 355 pesakit.

Empat negeri menunjukkan jumlah penggunaan katil ICU melebihi 70 peratus iaitu Pulau Pinang (73.1 peratus), Johor (72.9 peratus), Kelantan (72.8 peratus) dan Selangor (70.9 peratus).

Berita Harian X