Khamis, 3 March 2022 | 9:18pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pengeluaran khas KWSP RM101 bilion manfaatkan 7.34 juta ahli

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan hari ini berkata, tiga pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sudah memanfaatkan 7.34 juta ahli atau 58 peratus daripada 12.6 juta ahli berumur di bawah 55 tahun.

Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, berkata jumlah itu membabitkan amaun pengeluaran bernilai RM101 bilion dan bayaran bagi pengeluaran i-Citra berakhir bulan lalu.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan berkata, implikasi pengeluaran khas khususnya daripada Akaun 1 memberi kesan jangka panjang iaitu pengurangan jumlah simpanan persaraan yang ketara kepada ahli terbabit.

"Daripada keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun, setakat 31 Disember 2021, seramai 6.1 juta ahli atau 48 peratus hanya mempunyai baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun KWSP selepas majoriti ahli mengeluarkan simpanan melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

"Amaun RM10,000 menunjukkan ahli dijangka hanya mempunyai pendapatan persaraan kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun," kata kementerian itu.

Selain itu, pengeluaran khas itu juga menyebabkan penurunan ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus pada 2020 kepada 30 peratus pada akhir 2021.

Keadaan ini secara langsung menunjukkan 70 peratus atau lebih dua pertiga ahli berumur 55 tahun dan ke bawah berada dalam situasi serius yang mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

"KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara empat hingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang dikeluarkan ketika pandemik.

"Sehubungan itu, sebarang pengeluaran tambahan i-Citra atau pengeluaran khas baharu akan menjejaskan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang kini berada pada tahap amat membimbangkan," katanya.

Berdasarkan statistik KWSP, jumlah caruman bagi tahun 2021 menunjukkan peningkatan 2.6 peratus iaitu sebanyak RM71.8 bilion berbanding RM70 bilion pada 2020.

Data itu secara tidak langsung menunjukkan dengan pembukaan semula ekonomi yang mana perniagaan boleh beroperasi sepenuhnya membolehkan pekerja kembali bekerja dan memperoleh pendapatan bagi menampung kehidupan.

Lanjutan itu, Kementerian Kewangan berkata, pelbagai pihak seperti kesatuan pekerja sudah menyatakan pendirian bahawa sebarang pengeluaran tambahan akan menjejaskan kecukupan simpanan hari tua ahli, menambah beban kewangan kerajaan pada masa depan dan bercanggah dengan objektif penubuhan KWSP.– BERNAMA

Berita Harian X