Khamis, 3 March 2022 | 8:41pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

KPM rangka penyelesaian holistik isu beg murid berat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperincikan isu beg berat murid secara mendalam dan merangka penyelesaian holistik memandangkan pendekatan diambil sebelum ini belum dapat menangani sepenuhnya isu itu.

KPM dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, berkata kementerian itu akan mengumumkan perincian menyeluruh mengenai perkara ini.

"Ini penting bagi membolehkan pendekatan akan dilaksanakan dapat menyelesaikan isu beg berat secara tuntas.

"Kerjasama erat semua pihak adalah penting bagi memastikan segala cadangan, langkah dan tindakan bagi mengatasi beg sekolah yang berat dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan murid.

"Kementerian juga komited memastikan aktiviti pembelajaran murid sentiasa berada dalam keadaan kondusif," katanya menjawab soalan Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) yang bertanyakan usaha kementerian mengatasi masalah beg sekolah berat dan sama ada kementerian bercadang menukarkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang tidak terlalu bergantung kepada buku teks semata-mata.

KPM berkata, pihaknya sudah melaksanakan kajian bagi mengenal pasti punca dan mendapatkan penyelesaian isu itu termasuk Kajian Beban Beg Buku Murid Sekolah Rendah pada 1994, Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2008) dan Laporan Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2017).

Katanya, hasil kajian itu, pelbagai pendekatan dilaksanakan termasuk menyusun semula jadual waktu supaya dapat disesuaikan antara tiga hingga empat mata pelajaran dipelajari setiap hari dan meminimumkan penggunaan buku latihan untuk satu-satu mata pelajaran. – BERNAMA

Berita Harian X