Khamis, 3 March 2022 | 7:55pm
290 papan tanda ‘Hidupan Liar Melintas’ dipasang di lokasi terpilih sempena sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia.- Foto ihsan MPOGCF
290 papan tanda ‘Hidupan Liar Melintas’ dipasang di lokasi terpilih sempena sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia.- Foto ihsan MPOGCF

MPOGCF pasang 290 papan tanda 'Hidupan Liar Melintas'

PUTRAJAYA: Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) memasang 290 papan tanda 'Hidupan Liar Melintas' berjumlah hampir RM400,000 sempena sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia pada 3 Mac setiap tahun.

Yayasan itu yang berada bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sentiasa menyokong inisiatif serta program pemuliharaan hijau, termasuk melindungi hidupan liar.

Dalam satu kenyataan hari ini, MPOGCF berkata, pihaknya menyedari kemalangan jalan raya atau 'roadkill' antara ancaman utama kepupusan hidupan liar di negara ini membabitkan 2,525 kes direkodkan dari 2015 hingga 2020.

Menurutnya, tema pada tahun ini adalah 'Memulihkan Spesies Utama Untuk Restorasi Ekosistem'.

Katanya, papan tanda itu dipasang pertengahan bulan ini di 145 lokasi terpilih yang dikenal pasti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebagai kawasan panas 'roadkill'.

"MPOGCF berharap usaha ini dapat melindungi hidupan liar dan orang ramai daripada risiko kemalangan jalan raya.

"Pembinaan papan tanda ini adalah projek terbaru hasil kerjasama strategik MPOGCF dan PERHILITAN, selain Program Konservasi Harimau Malaya (2021-2025) dan beberapa program lain yang masih dalam perancangan.

"Sokongan MPOGCF terhadap usaha melindungi dan memulihara hidupan liar adalah bukti kelestarian industri sawit Malaysia yang bertapak di negara ini sejak lebih 100 tahun lalu," katanya.

Berita Harian X