Khamis, 3 March 2022 | 6:37pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, merasmikan Program Prihatin Pendidikan Keluarga Malaysia, anjuran Yayasan Bank Rakyat di FELDA Bukit Waha, dekat Kota Tinggi, hari ini. - NSTP/LUQMAN ARIF ABDUL KARIM
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, merasmikan Program Prihatin Pendidikan Keluarga Malaysia, anjuran Yayasan Bank Rakyat di FELDA Bukit Waha, dekat Kota Tinggi, hari ini. - NSTP/LUQMAN ARIF ABDUL KARIM

Pinjaman boleh ubah pendidikan masih dibuka

KOTA TINGGI: Yayasan Bank Rakyat masih membuka permohonan pinjaman boleh ubah pendidikan, dengan had siling pembiayaan sehingga RM30,000.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, berkata tawaran pembiayaan itu terbuka kepada semua penuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

Katanya, pinjaman pendidikan yang berupaya diluluskan tanpa mengira peringkat pengajian mengikut semester itu juga boleh diubah suai kepada biasiswa sekiranya penerima memperoleh keputusan cemerlang.

"Yayasan Bank Rakyat masih membuka permohonan kepada pelajar yang berminat untuk mendapatkan biasiswa, sama ada universiti awam atau swasta, tanpa mengira semester ke berapa pun.

"Maksudnya, jika pelajar berdepan masalah kewangan contohnya pada semester kedua atau ketiga, mereka masih memohon pembiayaan ini dan ia boleh diubah suai kepada biasiswa dengan syarat tertentu.

"Pembiayaan ini bertujuan memberi galakan kepada mereka belajar bersungguh-sungguh meskipun berdepan isu kewangan.

"Peruntukan bagi tempoh ini adalah RM4 juta untuk diberikan kepada penerima yang layak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Prihatin Pendidikan Keluarga Malaysia di FELDA Bukit Waha, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Memperincikan butiran semasa, Megat Zulkarnain berkata, yayasan menerima kira-kira 3,000 permohonan secara dalam talian dan semuanya sedang disemak.

Katanya, tarikh tutup permohonan bagi pembiayaan boleh ubah pendidikan adalah pada 15 Mac depan, dengan siling peruntukan kepada setiap penerima ialah RM30,000.

"Jumlah ini berubah-ubah mengikut keadaan kerana contohnya jika pemohon hanya memerlukan sekian jumlah, kita akan nilai dan luluskan jika memenuhi kelayakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata, kementerian sudah menerima 12,000 permohonan pampasan kewangan dalam kalangan usahawan yang terkesan dengan musibah banjir baru-baru ini.

Beliau berkata, peruntukan keseluruhan yang disediakan kerajaan bagi tujuan itu setakat ini adalah RM50 juta, termasuk kepada usahawan yang ditimpa musibah di pantai timur.

"Ini bermakna ada tinggal 4,000 permohonan untuk kita berikan pampasan kepada usahawan yang terkesan dengan banjir," katanya.

Berita Harian X