Khamis, 3 March 2022 | 5:24pm
Kawasan di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat dinaiki air banjir termenung. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kawasan di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat dinaiki air banjir termenung. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

8,570 warga IPT terkesan banjir

KUALA LUMPUR: Seramai 8,570 orang warga institusi pengajian tinggi menjadi mangsa banjir di seluruh negara, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, seramai 7,264 pelajar dan bakinya 1,306 ialah kakitangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"KPT mengambil beberapa tindakan awal bagi memantau dan menyelaras penyaluran bantuan kepada warga IPT yang terbabit.

"Antara usaha yang diambil ialah mengaktifkan Bilik Gerakan KPT. Universiti Awam (UA) turut mengaktifkan bilik gerakan dan talian hotline di universiti masing-masing," katanya menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) di Dewan Rakyat.

Abdul Azeez dalam soalannya meminta menteri menyatakan inisiatif dan bantuan untuk membantu mahasiswa dan mahasiswi golongan B40 yang terkesan dengan musibah banjir, baru-baru ini.

Noraini berkata, operasi bantuan banjir KPT membabitkan tujuh buah negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Pahang, Johor dan Sabah dengan kira-kira 76 daerah dikunjungi, termasuk dua daerah angkat, iaitu Kuala Langat di Selangor dan Temerloh di Pahang.

"KPT bersama Majlis Kesukarelawan Universiti Awam menggerakkan seramai 23,745 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan warga UA untuk menghulurkan bantuan pasca banjir.

"Pelbagai bentuk bantuan bagi menyokong keperluan mangsa banjir disumbangkan oleh KPT.

"Sehingga 7 Februari lalu, antara bantuan yang diberikan termasuk sumbangan 52,406 kotak bernilai RM4.14 juta yang mengandungi makanan dan keperluan asas," katanya.

Beliau berkata, selain itu bantuan komputer riba kepada pelajar yang mengalami kerosakan dan kehilangan komputer riba akibat musibah banjir.

Katanya, sumbangan kewangan berjumlah RM385,903 kepada mahasiswa dan warga KPT juga diagihkan. "Jumlah itu tidak termasuk bantuan yang diberikan secara terus oleh IPT dan juga politeknik kepada mangsa banjir.

"Kami juga memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan bermula 28 Disember 2021 sehingga 31 Mac 2022 kepada peminjam yang terjejas

"Bantuan penyelenggaraan motosikal/kereta, pendawaian elektrik di rumah dan pembaikan peralatan elektrik secara berterusan," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, IPT turut menjadi pusat pelindungan sementara banjir dan kemudahan klinik bergerak dan klinik bergerak veterinar.

Berita Harian X