Khamis, 3 March 2022 | 5:01pm
Harimau Belang atau spesies Malayan Tiger. - Foto hiasan NSTP/AIZUDDIN SAAD
Harimau Belang atau spesies Malayan Tiger. - Foto hiasan NSTP/AIZUDDIN SAAD

Lebih RM200,000 untuk buru harimau

Kuala Lumpur: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) membelanjakan RM201,250 mulai Januari lalu, bagi menangani konflik manusia-harimau.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hasan, berkata kos itu termasuk urusan operasi pengesanan serta menangkap harimau belang di daerah Gua Musang, Kelantan.

Selain itu, katanya, kos itu turut membabitkan perolehan peralatan dan keperluan logistik bagi menangkap dan mengawal harimau.

"Operasi ini masih dijalankan di kawasan seluas 88 kilometer persegi menggunakan beberapa kaedah bagi mengesan harimau belang di kawasan terbabit," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Tengku Zulpuri Raja Puji (PH-Raub) yang ingin mengetahui kos yang dalam operasi untuk menangkap harimau di Gua Musang, berikutan kes Orang Asli dibaham haiwan itu.

Pada 7 Januari lalu dilaporkan seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau di Kampung Sau dekat Pos Bihai.

Lelaki itu dikenali sebagai Anek Along dikatakan sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah ketika haiwan itu muncul kira-kira jam 9.10 pagi.

Takiyuddin berkata, antara kaedah yang digunakan bagi mengesan harimau itu termasuk memasang sebanyak 64 unit perangkap kamera di sekitar kampung dan denai laluan hidupan liar bagi memantau kehadiran harimau belang.

Selain itu, katanya, kaedah pemantauan dan mengesan menggunakan dron di jalan balak dan menempatkan kakitangan Jabatan PERHILITAN di tempat kejadian, bagi memantau serta meronda.

Menjawab soalan tambahan Tengku Zulpuri mengenai pendirian kementerian berhubung pembalakan yang boleh menyebabkan peningkatan populasi harimau, katanya, kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan itu sebenarnya merujuk kepada kawasan pembalakan secara tersusun iaitu hutan pengeluaran bukan catuan hutan tahunan.

Pemusnahan hutan mengakibatkan konflik harimau dengan manusia. - Foto hiasan NSTP
Pemusnahan hutan mengakibatkan konflik harimau dengan manusia. - Foto hiasan NSTP

Berita Harian X