Khamis, 3 March 2022 | 3:11pm
Harimau belang jantan yang cedera terkena perangkap khinzir, menerima rawatan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan Sungkai pada Januari lalu.
Harimau belang jantan yang cedera terkena perangkap khinzir, menerima rawatan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan Sungkai pada Januari lalu.

Pengecilan habitat antara cabaran konservasi hidupan liar

KUALA LUMPUR: Peningkatan gangguan serta pengecilan habitat antara cabaran dihadapi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam usaha konservasi hidupan liar di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, selain itu pihaknya turut berdepan cabaran seperti peningkatan penggunaan jerat oleh pemburu haram, serta kewujudan perdagangan haram hidupan liar secara maya yang membabitkan ramai dalam lingkungan usia belasan tahun.

"(Penjenayah hidupan liar) hanya perlu ke YouTube untuk mengetahui cara-cara membuat jerat, manakala (penjenayah) yang berusia sudah tiada yang memperdagangkan hidupan liar," katanya dalam Webinar Hari Hidupan Liar Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kadar kes hidupan liar terbunuh di atas jalan raya selain kes penyeludupan hidupan liar yang mendatangkan keuntungan besar juga mencabar usaha konservasi itu.

Cabaran juga, katanya dihadapi susulan keadaan semasa spesies Harimau Malaya yang kian terancam dengan kini jumlahnya kurang 160 ekor berbanding lebih 3,000 ekor sebelum ini.

"Selain Harimau Malaya, spesies haiwan terancam lain di negara ini ialah gajah, harimau belang, badak Sumatera, tapir dan Seladang," katanya.

Mengenai dasar dan langkah perundangan diguna pakai untuk memelihara hidupan liar, beliau berkata, ia terdiri daripada Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716); dan Akta Pemerdagangan Antarabangsa mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

Selain itu, Enakmen Taman Negara Pahang 1939, NO.2; Enakmen Taman Negara Pahang (Pindaan) 1990, No.6; Enakmen Taman Negara Terengganu 1939, No.6; Enakmen Taman Negara Kelantan 1938, No. 14 turut dikuatkuasakan bagi tujuan pemeliharaan hidupan liar.

"Meskipun terdapat banyak cabaran dihadapi, ia tidak mematahkan semangat anggota PERHILITAN dalam usaha pemuliharaan hidupan liar di negara ini," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X