Khamis, 3 March 2022 | 12:18pm
NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

62.9 peratus populasi dewasa sudah terima dos penggalak

KUALA LUMPUR: Seramai 14,810,832 individu atau 62.9 peratus populasi dewasa di negara ini sudah menerima dos penggalak vaksin COVID-19, setakat semalam.

Berdasarkan data dalam laman web COVIDNOW, seramai 22,951,398 (97.5 peratus) populasi itu telah lengkap vaksinasi, manakala 23,231,225 (98.7 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos vaksin.

Bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, seramai 929,733 individu (26.2 peratus) sudah menerima dos pertama melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Seramai 2,802,265 (90.1 peratus) populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula telah lengkap vaksinasi, dan 2,898,437 (93.2 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos vaksin.

Semalam, sebanyak 97,534 dos vaksin COVID-19 diberikan meliputi 26,923 dos pertama, dos kedua (1,389) dan dos penggalak (69,222).

Ia menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini mencecah 67,416,313.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan (KKM), 115 kematian baharu akibat COVID-19 direkodkan, semalam, yang menyaksikan Johor mencatat angka tertinggi dengan 25 kes.

Ia diikuti Sabah dengan 24 kes; Selangor (18); Kedah dan Negeri Sembilan (masing-masing lapan); Perak (tujuh); Pahang dan Kuala Lumpur (masing-masing enam); serta Kelantan (empat).

Seterusnya, Pulau Pinang (tiga), Melaka dan Perlis (masing-masing dua); serta Sarawak dan Terengganu (masing-masing satu). – BERNAMA

Berita Harian X