Khamis, 3 March 2022 | 11:02am
Prestasi memberangsangkan KWSP akan membantu mengukuhkan lagi keyakinan pencarum - NSTP/Aziah Azmee
Prestasi memberangsangkan KWSP akan membantu mengukuhkan lagi keyakinan pencarum - NSTP/Aziah Azmee

Prestasi cemerlang perkukuh reputasi KWSP

KUALA LUMPUR: Prestasi cemerlang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2021 adalah sejajar dengan keadaan ekonomi yang bertambah baik di dalam dan juga luar negara, sekali gus mengukuhkan lagi reputasinya sebagai institusi pengurusan dana pencen yang diurus dengan baik, kata seorang ahli ekonomi.

KWSP semalam mengisytiharkan dividen 6.10 peratus untuk simpanan konvensional bagi 2021 dengan jumlah pembayaran sebanyak RM50.45 bilion mengatasi dividen 5.45 peratus yang direkodkan semasa sebelum pandemik pada 2019.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata apa yang lebih penting adalah strategi pempelbagaian portfolio KWSP yang menyaksikan pelaburannya dalam pasaran global membuahkan hasil.

"Ini akan membolehkan KWSP mengemudi iklim pelaburan yang sangat tidak menentu. Sokongan daripada pengurus dana dan penganalisis mereka yang sangat berpengalaman serta proses pelaburan yang ketat dan tadbir urus kukuh juga membantu KWSP mencapai kadar dividen lebih baik daripada jangkaan," katanya kepada Bernama.

Berkenaan pekerja ekonomi gig yang kini boleh mencarum kepada KWSP, beliau berkata ia menunjukkan bahawa sektor informal mendapat perhatian yang sewajarnya daripada penggubal dasar dan langkah-langkah yang perlu telah dilaksanakan bagi memastikan keperluan persaraan mereka diambil kira.

Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Prof Yeah Kim Leng, berpandangan prestasi memberangsangkan KWSP itu akan membantu mengukuhkan lagi keyakinan pencarumnya termasuk daripada ekonomi gig.

Beliau berkata, langkah KWSP memperluaskan liputannya kepada pekerja ekonomi gig akan menjadi langkah penting untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial yang mencukupi bagi semua rakyat Malaysia terutama kumpulan berpendapatan rendah.

"Sebahagian besar pencarum KWSP mempunyai baki yang agak kecil dalam akaun KWSP mereka berikutan pengeluaran awal dan gaji rendah.

"Kumpulan rentan ini perlu menambah semula simpanan persaraan mereka yang mana tanpanya negara akan berdepan dengan masalah kemiskinan pada usia tua dalam tempoh terdekat ini," rumusnya.

Kim Leng berkata, meskipun pengeluaran lebih daripada RM100 bilion di bawah pakej rangsangan COVID-19 dan kemelesetan ekonomi yang disebabkan pandemik, prestasi kukuh KWSP pada 2021 yang membolehkan pengagihan pulangan terlaras inflasi sebenar pada 3.6 peratus akan disambut baik oleh pencarum.

Sementara itu, pensyarah kanan Putra Business School, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata KWSP bukan sahaja berperanan dalam pemulihan ekonomi negara semata-mata, namun ia termasuk memastikan ahlinya mendapat bantuan dari segi pengeluaran wang caruman agar tidak berlaku risiko muflis dan mereka dapat meneruskan kehidupan seharian.

Namun, katanya, skim pengeluaran adalah langkah jangka pendek dan tidak menyelesaikan isu struktur dalam menyediakan jaminan kewangan untuk persaraan.

"Negara lain yang membenarkan pengeluaran wang persaraan seperti Australia dan Chile juga sudah lama berhenti berbuat demikian, Malaysia saja masih meneruskan sehingga akhir tahun lalu.

"Dengan mengambil kira petanda kewangan lebih baik, petunjuk ekonomi yang meningkat dan harga komoditi tinggi, seeloknya Malaysia fokus kepada mempertingkatkan simpanan ahli untuk membolehkan mereka bersara dengan secukupnya," katanya.

Untuk rekod, simpanan ahli kini berada pada tahap kritikal yang mana kira-kira 50 peratus ahli di bawah umur 55 tahun memiliki simpanan kurang daripada RM10,000 dengan 74 peratus daripadanya adalah Bumiputera.

Ahmed Razman berkata, jika pengeluaran KWSP dibenarkan sekali lagi lebih ramai rakyat Malaysia bakal terjerumus dalam kelompok B40, sekali gus memerlukan bantuan daripada kerajaan yang seterusnya akan menjadi beban tambahan kepada kerajaan.

Beliau menegaskan, KWSP hanya perlu memberi tumpuan untuk menyalurkan bantuan dari segi persaraan sahaja, memandangkan terdapat beberapa mekanisma lain yang boleh dilaksanakan bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

"Ada pelbagai cara untuk meningkatkan caruman ahli, antaranya ialah dalam Bajet 2022, pengurangan kadar caruman minimum KWSP daripada 11 peratus kepada sembilan peratus. Penurunan caruman mungkin boleh menggalakkan majikan meningkatkan gaji seperti menaikkan gaji minimum," katanya.

Menyentuh mengenai kepelbagaian pelaburan KWSP pada 2021, beliau berkata 37 peratus pelaburan dana pencen itu adalah terdiri dari pelaburan antarabangsa yang berjaya memberi pulangan tinggi berbanding pelaburan domestik yang agak merudum tahun lalu.

Menerusi pelaburan domestik sebanyak RM639 bilion pada 2021, Ahmed Razman berkata, KWSP adalah tonggak utama bagi pertumbuhan ekonomi negara.

Pada tahun ini pula, katanya, KWSP komited untuk melabur sekitar RM64 bilion dalam pelbagai kelas aset domestik.

"Sebagai pelabur utama dalam pasaran kewangan Malaysia, ini akan membantu memangkin aktiviti ekonomi dan membantu dalam pemulihan ekonomi yang berterusan.

"Ia akan turut menggalakkan pertumbuhan, mewujudkan peluang pekerjaan serta hasil cukai untuk negara," tambahnya.

Ahmed Razman berkata, dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan kadar vaksinasi antara yang terbaik di dunia, Malaysia berada di landasan pemulihan pada 2022.

-BERNAMA

Berita Harian X