Khamis, 3 March 2022 | 8:21am

Beri lebih kelonggaran jumpa pengundi - Anwar

SEGAMAT: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu lebih kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diberikan dalam aspek berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, khususnya membabitkan perjumpaan dengan pengundi dan orang ramai.

Anwar berkata, pihaknya menyambut baik kelonggaran dalam SOP baharu yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semalam, namun masih ada perkara perlu ditambah baik.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, ia meliputi kelonggaran bertemu orang ramai ketika berkempen, tanpa mengabaikan SOP tertentu seperti penjarakan fizikal.

"Itu sebahagian daripada yang kita minta dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tetapi kita kata bagi kelonggaran lebih untuk bercakap dengan orang ramai. Kita hendak jumpa orang ramai.

"SOP jarak semua saya setuju, nak kena luas, buat di padang, jarak-jarak tetapi kena bagi kempen," katanya kepada pemberita, di sini, malam tadi.

SPR semalam mengumumkan ceramah, syarahan dan kempen bagi PRN Johor kini boleh diadakan di dalam serta pekarangan pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi.

Selain itu, ceramah sepanjang tempoh kempen juga dibenarkan hingga jam 12 tengah malam, berkuat kuasa serta-merta, berbanding hanya hingga jam 10 malam sebelum ini.

SPR dalam kenyataannya menjelaskan, kelonggaran itu dibuat berdasarkan cadangan pindaan dan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mengulas lanjut, Anwar berkata, PH pada masa sama juga perlu berhati-hati dalam berkempen, termasuk ketika sesi ceramah bagi mengelak dikompaun sebagaimana berlaku pada ceramah mega pertama anjuran gabungan parti itu di Bilik Gerakan AMANAH Kota Iskandar di Taman Mutiara Rini.

Pada program ceramah itu, penganjur dikenakan tiga kompaun bernilai RM3,000 oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru.

Dalam pada itu, Anwar menafikan dakwaan gerakan kempen PH dilihat perlahan dan tidak serancak momentum ditunjukkan Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, Anwar menjelaskan walaupun PH bukan 'parti kaya' seperti BN dan PN, pihaknya berpuas hati dengan gerakan kempen, setakat ini.

"Dari segi gerakan, okey. Berdasarkan laporan, bagi kawasan yang ditandingi PKR dan PH, ia bergeraklah.

"Namun, kita tidak sekaya parti-parti itu (BN dan PN), itu nampak besar," katanya.

Pada PRN Johor, PH mempertaruhkan 50 calon, manakala BN dan PN masing-masing bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Anwar berucap pada Program Ceramah Kelompok di Bilik Gerakan Utama DUN Gambir, malam tadi. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Anwar berucap pada Program Ceramah Kelompok di Bilik Gerakan Utama DUN Gambir, malam tadi. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Berita Harian X