Rabu, 2 March 2022 | 6:59pm
Jumlah pengagihan terkumpul bagi 2021 adalah RM56.72 bilion, iaitu RM50.45 bilion untuk Simpanan Konvensional dan RM6.27 bilion lagi untuk Simpanan Shariah.
Jumlah pengagihan terkumpul bagi 2021 adalah RM56.72 bilion, iaitu RM50.45 bilion untuk Simpanan Konvensional dan RM6.27 bilion lagi untuk Simpanan Shariah.

KWSP umum dividen konvensional 6.10 peratus, shariah 5.65 peratus

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.10 peratus untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan sebanyak RM50.45 bilion dan 5.65 peratus untuk Simpanan Shariah, dengan jumlah agihan RM6.27 bilion menjadikan jumlah agihan terkumpul untuk 2021 sebanyak RM56.72 bilion. 

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, berkata KWSP berjaya kekal stabil dan berdaya tahan untuk tahun 2021, sebahagiannya adalah kerana mempunyai kedudukan portfolio yang kukuh dan pelaburan yang pelbagai di peringkat global. 

"Pengeluaran sebanyak RM101 bilion akibat pandemik menyebabkan 48 peratus ahli KWSP mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka. 

"KWSP berharap dividen ini dan prestasi berterusan KWSP akan membantu ia dalam memulakan proses membina semula simpanan persaraan ahlinya, ketika pemulihan ekonomi berlaku sepanjang tahun ini," katanya dalam kenyataan media. 

Menurutnya, kebimbangan utama lanjutan daripada pengeluaran terbabit adalah kesan ke atas kecukupan persaraan ahli. 

Bagaimanapun, KWSP tetap mempunyai keupayaan dan ketangkasan untuk bertindak dengan impak yang minimum terhadap pasaran kewangan, walaupun terpaksa menghadapi cabaran mengurus kecairan akibat aliran keluar ini. 

Bagi 2021, KWSP mengimbangi semula dan mengurus portfolio pelaburannya dengan membeli saham yang kukuh pada harga yang menarik, selain memanfaatkan pelaburan luar negara, yang menyumbang 56 peratus kepada pulangan keseluruhan. 

Setakat 31 Disember 2021, KWSP mencatatkan peningkatan enam peratus dalam jumlah pendapatan pelaburan kasar kepada RM67.06 bilion daripada RM63.45 bilion pada 2020, didorong oleh pemulihan pasaran ekuiti dan sebahagian besar kelas aset semasa pemulihan global. 

Image

Portfolio pelaburan KWSP pada 2021 

Pada 2021, KWSP mencatatkan caruman bersih negatif (caruman setelah mengambil kira pengeluaran) untuk pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun sebanyak RM58.2 bilion, namun ia tetap teguh dan berhemat dalam strategi pelaburan jangka panjangnya, selain menyesuaikan diri terhadap cabaran dalam memastikan pulangan mampan jangka panjang. 

KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM67.06 bilion, di mana RM6.91 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Shariah. 

Prestasi yang membanggakan ini adalah hasil pendekatan kepelbagaian portfolio yang berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA), yang memastikan KWSP bertahan terhadap kejutan kewangan serta kekal stabil dalam situasi yang tidak dijangka. 

Berdasarkan kelas aset, instrumen Pendapatan Tetap merangkumi 45 peratus daripada pelaburan, manakala Ekuiti 44 peratus. Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing adalah enam peratus dan lima peratus. 

Pemulihan pasaran yang berterusan sepanjang tahun 2021, terutamanya dalam pasaran maju, menyumbang kepada portfolio ekuiti tersenarai KWSP, dan menyediakan peluang kepada dana persaraan ini untuk merealisasikan keuntungan. 

Ekuiti, khususnya ekuiti tersenarai luar negara yang merekodkan pulangan pelaburan (ROI ) sebanyak 10.44 peratus, terus menjadi penyumbang pulangan utama. Jumlah pendapatan bagi kelas aset Ekuiti adalah sebanyak RM38.93 bilion, atau 58 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar KWSP. 

Portfolio ekuiti persendirian juga menunjukkan prestasi yang baik, merekodkan pulangan pelaburan sebanyak 19.01 peratus. 

Untuk kesihatan jangka panjang, KWSP mengambil langkah berhemat untuk turun nilai kos sebanyak RM1.15 bilion daripada portfolio ekuiti tersenarai pada 2021, lebih rendah daripada RM7.71 bilion turun nilai kos yang dicatatkan pada 2020, selaras dengan pemulihan dalam pasaran ekuiti. 

Dengan hampir separuh jumlah peruntukan aset KWSP adalah dalam instrumen Pendapatan Tetap, merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, serta Pinjaman dan Bon, KWSP dapat mengekalkan pulangan yang stabil. Pendapatan daripada portfolio tersebut menyumbang sebanyak RM19.50 bilion, atau 29 peratus daripada jumlah pendapatan kasar KWSP. 

Pendapatan portfolio Hartanah dan Infrastruktur sebanyak RM7.69 bilion terus memainkan peranan sebagai pelindung nilai terhadap inflasi dengan pulangan pelaburan sebanyak 6.53 peratus. 

Ini adalah 1.84 peratus melebihi pulangan pelaburan instrumen Pendapatan Tetap sebanyak 4.69 peratus, manakala pendapatan daripada instrumen Pasaran Wang merekodkan RM0.94 bilion. 

Aset luar negara KWSP adalah penyumbang kritikal kepada prestasi keseluruhan, di mana kepelbagaian kelas aset, pasaran, dan mata wang memberikan kestabilan kepada pendapatan dan nilai tambah kepada keseluruhan pulangan KWSP.  

Setakat Disember 2021, sekitar 37 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah di luar Malaysia dan merentasi pelbagai kelas aset. 

Keseluruhan aset pelaburan meningkat 0.8 peratus kepada RM1.01 trilion daripada RM1.00 trilion pada 2020. Jumlah keahlian setakat Disember 2021 meningkat sebanyak dua peratus kepada 15.2 juta, manakala majikan yang berdaftar dengan KWSP adalah berjumlah 553,000. 

Dengan purata dividen sebenar tiga tahun selepas pelarasan terhadap inflasi sebanyak 4.91 peratus untuk Simpanan Konvensional, dan 4.51 peratus untuk Simpanan Shariah, KWSP melangkaui sasaran strategiknya untuk mengisytiharkan purata dividen sebenar sekurang-kurangnya 2.00 peratus dalam tempoh tiga tahun berturut-turut. 

Pengagihan dividen bagi setiap simpanan diperolehi daripada jumlah pendapatan nyata selepas ditolak rosot nilai bersih ke atas aset kewangan, turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai, kerugian tidak nyata yang disebabkan oleh kadar pertukaran mata wang asing dan harga instrumen derivatif, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen atas pengeluaran. 

Menangani cabaran pulangan mampan dan kesejahteraan persaraan 

KWSP percaya dengan pembukaan semula ekonomi dan perniagaan, serta pelbagai inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negara, akan menyediakan landasan yang baik untuk ia meningkatkan kecekapan pelaburan dan memanfaatkan peluang daripada inisiatif pemulihan. 

Untuk itu, KWSP akan meningkatkan pelaburannya ke dalam pelbagai kelas aset domestik pada tahun 2022. Sebagai pelabur utama dalam pasaran kewangan Malaysia, ini juga akan membantu memangkin aktiviti ekonomi dan pemulihan ekonomi yang berterusan. 

Data dalaman KWSP menunjukkan bahawa pasaran kerja telah kembali pulih, dengan data caruman, pendaftaran ahli, dan majikan aktif kesemuanya kembali ke tahap pra-pandemik pada suku keempat 2021. 

Dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa serta kadar vaksinasi antara yang terbaik di dunia, Malaysia bakal membangun semula pada tahun 2022. 

Pengkreditan dividen untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah akan dilaksanakan pada Ahad, 6 Mac 2022. 

Ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata dari kiosk KWSP di seluruh negara. 

Berita Harian X