Rabu, 2 March 2022 | 6:34pm

Bantuan wang ihsan mangsa banjir akan disegerakan - PM

PASIR MAS: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membayar bantuan wang ihsan kepada 7,651 keluarga mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu secepat mungkin.

Perdana Menteri berkata, setiap keluarga akan memperoleh bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000.

"Untuk Kelantan, jumlah mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) adalah seramai 9,056 orang membabitkan 2,995 keluarga, manakala di Terengganu mencatatkan 17,641 mangsa membabitkan 4,656 keluarga.

"Untuk bantuan wang ihsan, kita akan segerakan pembayaran secepat mungkin. Kalau boleh, sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing, setiap keluarga sudah mendapat bantuan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Mas, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, ketua keluarga yang tidak berpindah namun terjejas dalam bencana banjir, turut layak menerima bantuan wang ihsan.

"Selain bantuan wang ihsan, mangsa banjir juga menerima bantuan lain termasuk wang tunai RM2,500 bagi pembelian barangan keperluan asas dalam rumah dan baucar RM1,000 untuk membaik pulih kenderaan rosak.

"Selain itu, mangsa banjir juga menerima baucar atau rebat RM500 untuk pembelian barangan elektrik," katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut memaklumkan kerajaan juga akan membayar bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa korban banjir termasuk empat di Kelantan.

"Secara keseluruhan hasil lawatan saya di dua negeri, banjir kini hampir pulih dan mangsa banjir menunggu masa untuk pulang ke kediaman masing-masing," katanya.

 Keadaan banjir beberapa kawasan di Kampung Kajang Sebidang, Palas Merah dan Teluk Jering. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Keadaan banjir beberapa kawasan di Kampung Kajang Sebidang, Palas Merah dan Teluk Jering. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X