Rabu, 2 March 2022 | 6:18pm

Parlimen Bangi kawasan paling ramai penduduk

KUALA LUMPUR: Statistik Subnasional Parlimen yang meliputi statistik sosioekonomi dan alam sekitar di 222 kawasan Parlimen merekodkan Bangi sebagai kawasan Parlimen paling ramai penduduk, diikuti Kota Raja dan Subang.

Ketiga-tiga kawasan Parlimen itu terletak di Selangor dengan Parlimen Bangi merekodkan 688,000, manakala Kota Raja (523,000) dan Subang 478,000 orang.

Menurut statistik terbitan Jabatan Perangkaan (DOSM) Parlimen Bangi mencatatkan bilangan isi rumah dan tempat kediaman tertinggi iaitu masing-masing 182,471 orang dan 201,487 tempat kediaman.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata Parlimen Wangsa Maju pula direkodkan mempunyai kepadatan penduduk tertinggi iaitu 13,475 orang bagi setiap kilometer persegi.

Ia diikuti Jelutong seramai 11,373 penduduk dan Pandan seramai 11,371 penduduk bagi setiap kilometer persegi.

Parlimen Baram dan Hulu Rajang pula mempunyai fasiliti klinik kesihatan kerajaan yang tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 25 dan 14 buah, dan Parlimen Baram juga mempunyai bilangan sekolah tertinggi iaitu 78 sekolah rendah dan lapan sekolah menengah.

DOSM dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata Statistik Subnasional Parlimen itu adalah untuk memudahkan dan meningkatkan penggunaan data dalam kalangan Ahli Parlimen.

Statistik Subnasional Parlimen yang julung kali diterbitkan mengandungi indikator seperti maklumat asas; penduduk; perumahan; guna tenaga; pendapatan isi rumah; pendidikan; kesihatan; kemiskinan; keselamatan awam; internet dan media sosial; kemudahan asas dan alam sekitar.

Bilangan pertubuhan dan syarikat perniagaan mengikut sektor ekonomi serta bilangan perniagaan berkaitan keperluan masyarakat setempat di kawasan Parlimen seperti stesen minyak, tadika swasta, kedai dobi, kedai runcit, bengkel kereta dan klinik gigi turut dimuatkan dalam penerbitan statistik itu.

Mohd Uzir berkata penerbitan itu dapat menambah baik tadbir urus kawasan, dan menyediakan keperluan sosioekonomi secara lebih bersasar untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, penerbitan Statistik Subnasional Parlimen akan dikemas kini secara tahunan dan menjadi rujukan penting dalam pembuat keputusan, input penggubalan dasar, pemantauan dan penilaian keberkesanan program pembangunan negara serta penyelidikan.

"DOSM juga sedang menyediakan penerbitan untuk setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi diedarkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri pada suku kedua tahun ini," katanya.

Berita Harian X