Rabu, 2 March 2022 | 6:13pm

17 direman kes sogok kakitangan TNB

KUALA LUMPUR: Seramai 17 suspek direman untuk membantu siasatan atas dakwaan merasuah pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB), bagi tujuan melombong bitcoin menggunakan bekalan elektrik yang disambung secara haram.

Semua yang direman itu ditahan dalam serbuan sempena Ops Power hasil kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan TNB, yang dijalankan serentak di beberapa negeri semalam.

Selain di ibu negara, perintah tahanan reman ke atas suspek berusia antara 29 hingga 67 tahun itu diperoleh di empat lagi negeri iaitu Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan suspek tahanan kes Ops Power kelmarin direman antara empat hingga enam hari di beberapa negeri bermula hari ini.

"Siasatan mengenai kes itu masih diteruskan dan SPRM sedang mengumpulkan keterangan dari saksi," katanya tanpa mengulas lanjut.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan perintah reman selama empat hari berakhir Jumaat ini dikeluarkan Mahkamah Majistret Jenayah 12 di sini, ke atas empat suspek berusia 29 hingga 40 tahun, mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Mahkamah Khas Reman Seremban di Negeri Sembilan dan Mahkamah Majistret 4 di Ayer Keroh, Melaka pula mengeluarkan perintah reman masing-masing terhadap dua individu selama enam hari sehingga Ahad ini.

Dua suspek di Negeri Sembilan membabitkan lelaki berusia 49 dan 50 tahun, manakala di Melaka, berusia 33 dan 43 tahun.

"Mahkamah Majistret Jenayah 2 di Ipoh, Perak pula membenarkan perintah ke atas tujuh individu berusia 29 hingga 67 tahun selama empat hari hingga Jumaat ini.

"Sementara perintah tahanan reman sehingga Isnin depan dikeluarkan Mahkamah Majistret Alor Setar di Kedah ke atas dua lagi suspek berusia 33 dan 35 tahun.

"Semua kes di Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kedah disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009," katanya kepada BH, semalam.

Semalam, SPRM dengan kerjasama TNB menyita wang rasuah berjumlah RM2.37 juta membabitkan 998 premis dan wang tunai RM281,180 melalui Ops Power, selain membekukan 126 akaun bank bernilai RM4.47 juta membabitkan 97 individu serta 29 syarikat.

Turut disita, 1,157 mesin bitcoin bernilai RM2.31 juta (anggaran setiap mesin RM2,000), e-dompet RM82,000, mata wang kripto AS$25,893.46, lima kereta jenis BMW, Honda Accord, Toyota Vellfire, Ford Ranger dan Audi serta pelbagai barang kemas seperti rantai, gelang dan cincin.

Berita Harian X