Rabu, 2 March 2022 | 6:04pm

Isu 'balak' Tasik Kenyir: MB tunggu laporan Jabatan Perhutanan negeri

KUALA BERANG: Kerajaan negeri menunggu laporan lanjut daripada Jabatan Perhutanan negeri berhubung lambakan kayu yang hanyut berhampiran Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud, dekat sini, pada Isnin lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, maklumat awal diterima memaklumkan lambakan dikesan itu membabitkan sisa kayu daripada bukit di kawasan sekitar.

"Maklumat awal daripada Jabatan Perhutanan negeri bahawa ia bukan kayu balak sebenarnya, tetapi sisa-sisa kayu daripada bukit dan sebagainya.

"Bagaimanapun saya masih menunggu laporan lanjut daripada Jabatan Perhutanan negeri (berhubung isu ini)," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas video tular menunjukkan ratusan kayu-kayan dipercayai balak dan sisa hutan yang dihanyutkan arus di beberapa kawasan sekitar Tasik Kenyir sejak Isnin.

Ketika ditanya berlaku pembalakan di kawasan berhampiran empangan itu, Ahmad Samsuri berkata, maklumat awal diterimanya tidak berlaku perkara itu.

"Setakat maklumat awal, tidak begitu dan kita masih menunggu laporan daripada Jabatan Perhutanan negeri," katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat, menggesa kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan negeri menyiasat kes balak dan kayu hanyut yang berlaku di Tasik Kenyir.

Beliau berkata, kawasan daerah Hulu Terengganu terutama sekitar Tasik Kenyir bukannya zon pembalakan.

Kesan tanah runtuh dipenuhi kayu kayan hanyut disyaki balak selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu berdekatan Empangan Hidro di Stesen Janakuasa Kenyir di Jenagor. - NSTP/Ghazali Kori
Kesan tanah runtuh dipenuhi kayu kayan hanyut disyaki balak selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu berdekatan Empangan Hidro di Stesen Janakuasa Kenyir di Jenagor. - NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X