Rabu, 2 March 2022 | 3:41pm
Tenaga Nasional Bhd (TNB)
Tenaga Nasional Bhd (TNB)

Tiada pekerja TNB terima sogokan perlombongan bitcoin

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menegaskan bahawa tiada warga kerja firma utiliti itu yang menerima sogokan daripada ahli sindiket perlombongan bitcoin atau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi besar-besaran baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Baharin Din, berkata berlaku kekeliruan yang mungkin disebabkan salah faham dan kesilapan laporan sebahagian media mengenai kononnya warga kerja TNB menerima sogokan dari sindiket mencuri elektrik untuk melombong bitcoin.

"Kekeliruan ini juga semakin tular di media sosial. Hakikatnya, kaedah operasi sulit (covert) TNB bersama SPRM ini memerlukan intipan secara penyamaran (undercover) dibuat untuk memerangkap dan mendedahkan kegiatan sindiket ini.

"Tiada warga kerja TNB yang ditahan kerana disahkan tiada warga kerja TNB yang menerima habuan dari anggota sindiket," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan akhbar berkaitan operasi bersama TNB-SPRM bagi membanteras sindiket mencuri elektrik membabitkan perlombongan bitcoin.

Baharin berkata, pengurusan TNB amat berterima kasih kepada SPRM dan warga kerja TNB yang terbabit dalam operasi yang mengambil masa lebih dua tahun sehingga tindakan undang-undang dapat diambil terhadap mereka berkenaan.

"Inisiatif bersama ini sudah pun membuahkan hasil dengan tertangkapnya 18 individu membabitkan 7,209 kes sejak 2018. Operasi sulit ini juga membolehkan SPRM membekukan 126 akaun bank bernilai RM4.47 juta membabitkan 97 individu serta 29 syarikat.

"Daripada 18 dalang sindiket yang ditangkap, salah seorang daripada mereka mempunyai 500 unit rumah kedai yang disewa untuk aktiviti perlombongan bitcoin secara haram," katanya.

Beliau berkata, pengurusan TNB juga berbangga dengan integriti tinggi warga kerjanya yang memaklumkan kepada pengurusan mengenai pelbagai cubaan anggota sindiket untuk menyogok pasukan mencegah kecurian elektrik TNB.

"Perkongsian ini membawa kepada operasi bersama SPRM. Mereka memerlukan masa untuk membina kes yang kukuh bagi mengesan dan memerangkap dalang dan ketua sindiket, bukan sekadar operator atau pekerjanya.

"Kejayaan operasi bersama SPRM dan TNB itulah yang diumumkan dalam media," katanya.

Isnin lalu, media melaporkan lebih 20 premis yang dijadikan lubuk sindiket melombong bitcoin yang dijana menggunakan bekalan elektrik yang disambung secara haram, diserbu dalam operasi besar-besar SPRM bersama TNB.

Memetik sumber, selain sekitar ibu negara, operasi membabitkan 20 premis itu turut dilaksanakan serentak di Melaka, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Selangor.

Sindiket berkenaan juga dikatakan ada yang cuba menawarkan sogokan dalam bentuk bitcoin untuk melindungi kegiatan mereka.

Sehari kemudian, BH melaporkan dua lelaki disyaki menyogok pegawai TNB sebanyak RM75,000 sejak Ogos tahun lalu, dalam usaha melindungi kecurian bekalan elektrik yang digunakan operasi perlombongan bitcoin di sekitar Negeri Sembilan ditahan SPRM ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan kira-kira jam 3.30 petang Isnin.

Kedua-dua suspek berusia 49 dan 50 tahun itu direman selama enam hari sehingga 6 Mac ini dan akan ditempatkan ditempatkan di Lokap SPRM Negeri Sembilan.

Difahamkan, kedua-dua suspek menawar dan memberi wang jumlah keseluruhan RM75,000 secara rasuah kepada pegawai TNB Zon Selatan (Negeri Melaka/Johor/Negeri Sembilan) sejak Ogos 2021 hingga Januari lalu.

Ia sebagai dorongan untuk melindungi aktiviti mencuri bekalan elektrik di beberapa premis sekitar Negeri Sembilan yang menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dibawa ke Mahkamah Seremban dan tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 10.20 pagi sambil diiringi pegawai SPRM.

Berita Harian X