Rabu, 2 March 2022 | 2:52pm
Dr Roshayati Mohamad Sani. - FOTO BERNAMA
Dr Roshayati Mohamad Sani. - FOTO BERNAMA

93 peratus laporan AEFi disahkan tidak serius

PUTRAJAYA: Sejumlah 93 peratus daripada 25,445 laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) diterima Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga 25 Februari lalu disahkan tidak serius.

Pengarah NPRA, Dr Roshayati Mohamad Sani berkata, jumlah itu membabitkan 23,682 laporan itu biasanya akan pulih dalam tempoh sehari dua, dengan antara contoh AEFI tidak serius termasuk demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan.

Sementara baki 1,763 laporan lagi, katanya dikategorikan sebagai AEFI serius dengan kadar 26 laporan bagi setiap sejuta dos.

"Kesan AEFI serius adalah yang memerlukan kemasukan ke hospital, pemanjangan tempoh di wad, mengancam nyawa, atau disyaki menyebabkan kematian," katanya pada Sesi Taklimat Bersama Media berhubung Laporan AEFI Vaksin COVID-19 Siri 2/2022, secara dalam talian, pagi ini.

Beliau berkata, angka keseluruhan laporan AEFI diterima pihaknya itu termasuklah 1,275 laporan membabitkan dos penggalak dan 94 laporan dalam kalangan penerima vaksin golongan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

"Sejumlah 1,275 laporan AEFI daripada penerima dos penggalak atau pada kadar 89 laporan bagi setiap sejuta dos lebih rendah daripada kadar keseluruhan pelaporan AEFI iaitu 381 laporan bagi setiap sejuta dos.

"Hanya 90 laporan atau 7.06 peratus daripada jumlah laporan AEFI diterima bagi dos penggalak diklasifikasikan sebagai serius, iaitu pada kadar 6.3 laporan bagi setiap juta dos," katanya.

Dr Roshayati berkata, sebanyak 596 laporan AEFI membabitkan kematian dalam kalangan penerima vaksin COVID-19 dilaporkan dan dinilai Jawatankuasa Farmakovigilan Khas dengan 433 didapati tiada kaitan pengambilan vaksin, manakala 163 lagi masih dalam siasatan.

Setakat 25 Februari lalu juga, katanya sebanyak 66,767,854 dos vaksin COVID-19 sudah diberikan membabitkan jenama Comirnaty (Pfizer), CoronaVac (Sinovac), AstraZeneca (AZ), Convidecia (CanSino) dan COVILO (Sinopharm).

"Bagi penerima vaksin kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, sehingga 25 Februari lalu, sebanyak 751,928 dos vaksin Comirnaty dengan isipadu 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection (Pfizer-BioNTech) sudah diberikan kepada golongan ini.

"Sebanyak 94 laporan AEFI pada kadar 0.1 laporan bagi setiap 1,000 dos juga diterima. Ia lebih rendah daripada kadar keseluruhan pelaporan AEFI iaitu 0.4 bagi setiap 1,000 dos.

"Majoriti laporan atau 97.9 peratus membabitkan kesan tidak serius dan hanya dua laporan serius diterima. Kesan paling kerap dilaporkan ialah demam, tekanan terhadap suntikan atau proses vaksinasi, reaksi kegatalan pada kulit, pening dan sakit kepala," katanya.

Berita Harian X