Selasa, 1 March 2022 | 1:21pm

PRN Johor dicemari kes bakar bendera parti

KLUANG: Polis mengesan dua kejadian bendera sebuah parti politik dibakar di dua lokasi berlainan di Layang-layang, Kluang, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, berkata insiden terbabit berlaku antara Jalan Puteri dengan Jalan Melati di Taman Layang-Layang, serta di Jalan Kampung Paya.

Beliau berkata, tiada suspek dikesan, setakat ini, namun semua pihak terbabit Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini diingatkan supaya mengawal tingkah laku penyokong masing-masing demi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan ketenteraman awam tidak tergugat.

"Pastikan penyokong mematuhi undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi kempen PRN Johor.

"Perbuatan membakar bendera itu termasuk dalam kesalahan bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas pelaku yang didapati dengan sengaja tidak mematuhi undang-undang, menimbulkan kekacauan dan sebarang provokasi, mengikut undang-undang Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 24(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian berasingan, beliau berkata, polis turut mengesan dua kes pemasangan kain rentang berhampiran kawasan sekolah, yang melanggar Seksyen 24b (7) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

"Kain rentang itu dipasang berdekatan kawasan Sekolah Agama Kampung Contoh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Lukut di Kahang.

"Pihak polis sudah mengenal pasti petugas parti yang terbabit, dan seterusnya menasihati berkaitan syarat serta prosedur operasi standard (SOP) bahawa pemasangan bendera atau kain rentang hendaklah dalam jarak 50 meter dari pusat mengundi," katanya.

Sementara itu, Hang Seng berkata, wakil parti politik telah membuka semula dua unit khemah yang dipasang pihak berkenaan di Jalan Ibrahim, Paloh.

"Wakil berkenaan menerima notis daripada Majlis Perbandaran Kluang (MPK) atas kesalahan mendirikan struktur bangunan tanpa kebenaran, iaitu meletakkan khemah tanpa kebenaran MPK dan menghalang laluan awam," katanya.

Beliau berkata, sebarang permasalahan, aduan atau maklumat berkaitan isu pilihan raya boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berdekatan atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melalui talian 07-7784222.

Berita Harian X