Selasa, 1 March 2022 | 11:24am

Wajah baharu penjawat, organisasi awam - PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memfokuskan usaha memberi wajah baharu kepada penjawat awam selain landskap baharu dalam organisasi awam, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, pembaharuan itu bertujuan menjadikan sistem penyampaian kerajaan lebih bersifat 'people-centric' dan memudahcara urusan rakyat serta tidak lagi dibebani dengan kerenah birokrasi.

"Sebagai contoh, antara penambahbaikan yang sudah dilaksanakan adalah meliputi kesegeraan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bantuan tunai, geran, pinjaman mudah dan sebagainya dengan mengurangkan kerenah birokrasi.

"Kita dapat lihat, bagaimana bantuan wang ihsan (BWI) dapat disalurkan dalam tempoh yang paling cepat dalam sejarah bantuan banjir yang berlaku pada penghujung tahun lalu. Buat pertama kali, kerajaan menyediakan tiga kaedah penyaluran kepada mangsa banjir, sama ada melalui penyerahan tunai di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), rumah ke rumah dan juga pembayaran dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, langkah diambil kerajaan ini dipacu perkhidmatan awam yang cekap dan juga organisasi yang dinamik serta bersifat 'facilitative'.

"Saya akan memastikan organisasi awam akan lebih efisien dan efektif dengan mempunyai saiz, struktur dan fungsi yang bersesuaian serta tiada pertindanan fungsi. Kita akan meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan proses rekayasa bagi memastikan ia sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa serta mendatang. Fungsi yang tidak lagi relevan perlu dijumudkan bagi membolehkan kita melaksanakan fungsi yang terkini dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sudah menggariskan supaya sistem penyampaian perkhidmatan awam juga didorong oleh inisiatif baharu melalui pendekatan seperti penerapan lima nilai iaitu pantas, pengetahuan bertaraf dunia, memberi inspirasi, fleksibel dan berasaskan teknologi.

Katanya, dalam memacu ekonomi digital Malaysia, kerajaan sentiasa memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mendokong transformasi Malaysia menjadi peneraju ekonomi digital serantau agar dapat memupuk serta membina masyarakat yang lebih progresif.

"Kita perlu menyediakan platform perkhidmatan yang kukuh, holistik dan kalis masa hadapan (future proof). Kerajaan memahami bahawa penyampaian melalui tekonologi digital amat kritikal dalam mengurangkan karenah birokrasi terutama melibatkan perkhidmatan kaunter.

"Bagi tujuan itu, melalui inisiatif Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia ataupun MyDigital sudah menyasarkan perkhidmatan kerajaan secara 'End to End' (E2E) sebanyak 80 peratus menjelang 2025.

"Perkara ini akan dapat memacu transformasi sektor awam untuk menjadi kerajaan digital dengan memanfaatkan teknologi, data dan kecerdasan digital, meningkatkan set kemahiran digital penjawat awam dan meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam talian. Ini juga akan meningkatkan kedudukan negara dalam penarafan World Digital Competitiveness Ranking," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa menambah baik sistem penyampaiannya melalui maklum balas semua pihak baik dari rakyat, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan termasuk juga Ahli Parlimen, serta komited untuk membuat penambahbaikan untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan sistem ini sentiasa ditambah baik.

"Kerajaan akui masih ada lagi ruang penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang boleh dilaksanakan. Kita sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan penambahbaikan, kritikan yang membina dan profesional sepertimana komitmen Kerajaan dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik," katanya.

Menjawab soalan tambahan Tajudin mengenai sistem bekerja dari rumah, Ismail Sabri berkata, ketika ini, hanya 20 peratus penjawat awam yang bekerja dari rumah, sementara selebihnya di pejabat dengan produktiviti bekerja di pejabat dilihat lebih baik.

Ismail Sabri pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini. - Foto BERNAMA
Ismail Sabri pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X