Isnin, 28 Februari 2022 | 6:10pm

KPWKM jamin makanan, barangan keperluan mangsa banjir di PPS mencukupi

CHUKAI: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan peruntukan sebanyak RM8 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan pengurusan mangsa banjir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata setakat ini sebanyak RM4.56 juta telah disalurkan kepada JKM negeri seluruh negara.

Beliau berkata, peruntukan itu adalah untuk membiayai bekalan makanan dan barangan keperluan kepada mangsa banjir.

"Masing-masing sebanyak RM500,000 sudah disalurkan kepada Terengganu, Kelantan, Pahang, Sabah, Sarawak, Labuan, Selangor dan Johor.

"Manakala, Melaka menerima sebanyak RM150,000; Negeri Sembilan (RM100,000); Perak RM (100, 000) dan Kuala Lumpur (RM100,000) manakala Pulau Pinang (RM50,000) dan Perlis (RM30,000)," katanya selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara PPS (PPS) Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Mentuk, Kemaman, petang tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan negeri, Hanafiah Mat dan Pengarah JKM Negeri, Mazura Ngah.

Sementara itu Rina berkata, setakat ini sebanyak 406 PPS dibuka di Kelantan dan 169 PPS di Terengganu.

"Saya sangat berpuashati dengan komitmen semua agensi Persekutuan dan negeri yang berbanding bahu menyelaraskan PPS dengan baik sekali," katanya.

Berhubung kelewatan menyalurkan peruntukan kepada mangsa banjir yang terjejas, Rina berkata, setakat ini semua isu terbabit sudah diselesaikan JKM negeri hari ini.

"Segala barangan keperluan dan makanan kepada mereka yang gagal diberikan semalam sudah diselesaikan hari ini dengan bantuan agensi seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Polis.

"Semuanya sudah diselesaikan dan segala keperluan kepada mangsa banjir mencukupi dan tiada sebarang masalah yang timbul," katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Rina Harun, bertanya khabar mangsa banjir, Mona Abdullah yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mentuk di Kemaman, hari ini
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Rina Harun, bertanya khabar mangsa banjir, Mona Abdullah yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mentuk di Kemaman, hari ini
Berita Harian X